‘Jangan mudah percaya suara, wajah deepfake’ – Mahmood Yahya

ORANG ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai suara dan wajah individu yang dilihat dalam talian berikutan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin memudahkan penjenayah melakukan penyamaran identiti menerusi teknik deepfake.

Pegawai Penyiasat (Forensik Digital), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Superintenden Mahmood Yahya berkata, teknologi itu membolehkan penjenayah menghasilkan suara dan video palsu yang menyerupai individu sebenar bagi memperdaya mangsa.

“Penjenayah kini tidak lagi bergantung kepada kaedah penipuan konvensional, sebaliknya menggunakan teknologi AI untuk menghasilkan kandungan lebih meyakinkan dalam tempoh singkat.

“Anggap setiap suara, wajah dan video pada skrin sebagai belum disahkan. Jangan mudah percaya dengan apa yang didengar atau dilihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan bertajuk Perkongsian Teknologi 5: Ancaman Berteraskan Kecerdasan Buatan (AI) – Deepfake, Penyamaran Identiti dan Penipuan Digitalsempena program NEXSEC2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, antara modus operandi yang digunakan ialah menyamar sebagai ahli keluarga atau individu dipercayai menerusi panggilan telefon dan video, sebelum meminta mangsa memindahkan wang atas alasan kecemasan

Katanya, penjenayah turut menggunakan wajah pemimpin negara, kerabat diraja dan pihak berkuasa kewangan untuk menghasilkan kandungan palsu, termasuk mempromosikan skim pelaburan yang kononnya mendapat sokongan kerajaan.

“Orang ramai perlu berhati-hati ketika berkongsi maklumat di media sosial kerana rakaman suara, wajah dan bahasa pertuturan yang dimuat naik boleh dimanfaatkan penjenayah untuk menghasilkan penyamaran lebih meyakinkan.

“Lebih banyak kita berkongsi, lebih banyak maklumat yang mereka boleh kumpulkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahmood menasihatkan orang ramai supaya menyimpan fail asal gambar, video atau mesej suara yang disyaki dimanipulasi dan tidak menyebarkannya semula bagi memastikan bukti digital tidak terjejas.

“Bukti asal penting bagi membantu pegawai penyiasat menjalankan analisis forensik digital, terutama untuk mengenal pasti sama ada sesuatu kandungan telah dimanipulasi menggunakan teknologi AI,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mangsa penipuan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan mengesan dan menyekat transaksi dilakukan sebelum wang dipindahkan keluar daripada sistem perbankan Malaysia.

Mahmood berkata, orang ramai juga disarankan menetapkan kata rahsia bersama ahli keluarga bagi mengesahkan identiti sekiranya menerima panggilan mencurigakan yang meminta bantuan kewangan.

Katanya, sebarang permintaan pemindahan wang perlu disahkan terlebih dahulu melalui panggilan semula menggunakan nombor telefon rasmi yang dipercayai, selain tidak berkongsi kod pengesahan sekali guna (OTP).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here