KEPRIHATINAN terhadap kehidupan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan pekerja bawahan, perlu menjadi antara asas kepimpinan negara dalam memastikan pembangunan ekonomi turut membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin bukan sahaja perlu mempunyai visi dan kebolehan menyampaikan pandangan, malah harus memahami kesukaran yang dihadapi rakyat serta berusaha mencari jalan untuk membantu mereka.
Menurut beliau, golongan seperti pesawah, petani, nelayan, pemandu teksi dan penjawat awam berpendapatan rendah wajar diberikan perhatian kerana sumbangan mereka turut menyokong pembangunan negara.
“Saya nak bagi sepatah dua kata kepada semua, buat kerja. Kerana negara ini perlukan pimpinan yang ada visi. Negara ini perlukan pimpinan yang prihatin terhadap masalah rakyat di bawah. Bukan cakap pandai, maki orang, menghina orang.
“Jadi saya sebut, kita nak pilih menteri ataupun pemimpin yang prihatin nasib orang. Selesai semua masalah satu hari memang tak boleh tetapi sekurang-kurangnya ada niat yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramly.
Anwar berkata, walaupun tidak semua masalah rakyat dapat diselesaikan dalam masa singkat, kerajaan perlu terus mengambil langkah bersesuaian bagi mengurangkan beban golongan yang memerlukan bantuan.
Antara perkara yang memerlukan perhatian, katanya, ialah keadaan sekolah daif serta kemudahan kediaman guru, anggota tentera dan polis yang perlu ditambah baik.
Beliau turut menegaskan bahawa latar belakang ekonomi keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak untuk memperoleh pendidikan berkualiti.
“Saya tak boleh terima anak orang susah dinafikan hak mereka untuk belajar!” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil negara perlu diuruskan dengan baik dan dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, manakala sebarang salah guna kuasa perlu ditangani.
Katanya, setiap anggota masyarakat tanpa mengira kaum atau pekerjaan perlu dihargai atas sumbangan masing-masing, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjaga kebajikan rakyat.
Pada majlis berkenaan, kira-kira 500 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah menerima baucar bantuan bernilai RM1,000 seorang menerusi Program Bantuan Khas Kewangan yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.





