KEDAI runcit di kawasan pedalaman berpeluang menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (Sara), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.
Beliau berkata semua peruncit layak menyertai program itu dengan mengemukakan permohonan terminal pembayaran bagi membolehkan mereka menerima bayaran terus daripada Kementerian Kewangan (MOF).
“Sebenarnya semua peruncit boleh terlibat dengan program Sara kerana subsidi yang ditawarkan bayaran itu dibuat secara langsung (direct) daripada MOF. Jadi, apa yang peruncit perlu buat, mereka perlu memohon kepada MOF untuk mendapatkan terminal tersebut.
“Apabila terminal itu dipasang di kedai runcit mereka dan apabila pengguna menggunakan kad pengenalan mereka, maka bayaran itu dibuat oleh MOF terus kepada peruncit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai langkah kerajaan bagi memastikan kedai runcit di kawasan pedalaman turut mendapat manfaat daripada program Sara, susulan kebimbangan mereka kehilangan pelanggan akibat persaingan dengan pasar raya dan rakan strategik Sara.
Fuziah berkata berdasarkan pemerhatiannya ketika mengunjungi kawasan pedalaman, kedai runcit dan point of sales (POS) yang mempunyai terminal pembayaran Sara sememangnya menerima manfaat daripada penyertaan dalam program itu.
Ketika menjawab soalan asal Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai perbezaan kos antara peniaga kecil di kawasan pedalaman dengan pasar raya besar dalam penetapan harga dan subsidi nasional, Fuziah berkata kerajaan mengambil kira perbezaan struktur kos kedua-dua kategori peruncit itu, khususnya dari segi pembelian pukal dan kos logistik.
Beliau berkata pasar raya besar mempunyai kelebihan ekonomi skala yang membolehkan mereka membeli barangan secara pukal pada harga lebih rendah, manakala peniaga kecil di kawasan pedalaman perlu menanggung kos tambahan untuk membawa barangan ke premis masing-masing.
Sehubungan itu, katanya kerajaan memberikan tumpuan pada bantuan berkaitan logistik menerusi beberapa inisiatif, antaranya Program Penyeragaman Harga dengan peruntukan RM67 juta bagi pengangkutan barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Program Pengedaran Barang Perlu diperuntukkan RM250 juta bagi 2026 dan RM250 juta bagi 2027 untuk pengedaran barangan keperluan melibatkan 828 kawasan, serta peruntukan RM3.5 bilion pada 2025 bagi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melibatkan kira-kira 30,000 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna.
Mengenai kawalan harga, Fuziah berkata kementeriannya melaksanakan pemantauan harga setiap hari menerusi 850 pegawai pemantau yang memeriksa 2,170 premis bagi 316 jenis barangan.





