Isu pelarian Rohingya: Zahid,Tok Mat Hasan perlu beri penjelasan apa berlaku

PENAFIAN  pihak berkuasa Turkiye terhadap pengumuman penerimaan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia mencetuskan persoalan mengenai penyelarasan diplomatik kerajaan

Ia termasuklah  kenapa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak tampil memberikan penjelasan.

Walaupun pengumuman yang dibuat oleh  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui media sosial telah ditarik balik namun isu menjadi perhatian memandangkan ada ahli politik Turkiye memberi respons terhadap perkara itu.

Sehubungan itu, Naib Ketua AMK Hulu Langat, Mohamad Fathi Zikri Mohd Zain, berkata perkara itu serius kerana melibatkan ketelitian komunikasi kepimpinan kerajaan, kredibiliti pentadbiran serta hubungan diplomatik Malaysia dengan Turkiye.

Menurutnya, persoalan utama yang perlu dijawab ialah atas kapasiti apakah pengumuman berkenaan dibuat, sama ada persetujuan rasmi kerajaan Turkiye benar-benar diperoleh dan sejauh mana Kementerian Luar Negeri serta Wisma Putra terlibat dalam proses rundingan dan pengesahan sebelum perkara itu diumumkan kepada umum.

“Percanggahan maklumat seperti ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap proses pentadbiran dan penyelarasan dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan, lapor harapandaily.

Fathi turut mempersoalkan sama ada perkara itu telah dibincangkan dan mendapat persetujuan di peringkat Jemaah Menteri sebelum pengumuman dibuat, memandangkan isu berkenaan melibatkan dasar serta hubungan antara dua negara.

Beliau menegaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri membawa tanggungjawab besar dan setiap kenyataan yang dibuat atas kapasiti tersebut bukan sekadar mewakili individu atau parti, tetapi turut membawa nama kerajaan serta Malaysia di pentas antarabangsa.

Dalam masa sama, Fathi mempersoalkan kedudukan Menteri Luar yang sepatutnya tampil menjelaskan status komunikasi diplomatik antara Wisma Putra dengan kerajaan Turkiye.

Menurutnya, penjelasan daripada Menteri Luar diperlukan bagi memastikan rakyat mengetahui sama ada pengumuman Zahid telah melalui penyelarasan kementerian berkenaan serta kedudukan sebenar rundingan diplomatik yang berlangsung.

Fathi berkata, keadaan tersebut turut mengundang persoalan mengenai tanggungjawab dan akauntabiliti kepimpinan UMNO memandangkan Zahid dan Mohamad merupakan dua pemimpin kanan parti itu yang memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Katanya, kredibiliti kepimpinan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jawatan yang disandang semata-mata, sebaliknya melalui keupayaan memikul tanggungjawab, memberikan penjelasan dan menyelesaikan persoalan yang menyentuh kepentingan negara.

Beliau turut bimbang insiden itu berpotensi menjejaskan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkukuh hubungan Malaysia dengan Turkiye yang dibangunkan melalui kerjasama strategik, persefahaman dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Menurutnya, hubungan antarabangsa memerlukan kepercayaan dan penyelarasan yang rapi, justeru kenyataan yang tidak diselaraskan dengan baik boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu momentum hubungan dua hala.

Fathi bagaimanapun berkata, usaha kerajaan menangani isu kemanusiaan Rohingya tidak dipertikaikan, namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan prosedur diplomatik, ketepatan fakta dan tanggungjawab institusi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Zahid tampil menjelaskan asas pengumuman berkenaan, status sebenar persetujuan kerajaan Turkiye serta peranan Kementerian Luar Negeri dalam perkara tersebut.

Mohamad Hasan pula, katanya, perlu menjelaskan kedudukan Wisma Putra dan tindakan diplomatik yang telah atau sedang diambil bagi memastikan isu itu tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan Turkiye.

Beliau turut menegaskan bahawa memadam hantaran media sosial sahaja tidak memadai untuk menjawab persoalan yang telah timbul, sebaliknya rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.

“Kita boleh berbeza pandangan dalam politik, tetapi dalam soal kredibiliti dan hubungan antarabangsa, setiap pemimpin wajib meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi kepentingan politik masing-masing,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here