SEBUAH kedai dalam stesen minyak di Jalan Sultan Abdullah, Kuantan musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.54 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan yang terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian segera dikerahkan bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran hanya melibatkan sebuah kedai dalam kawasan stesen minyak berkenaan.
“Kedai itu musnah sepenuhnya, namun kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran hos salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki pam jentera bomba.
Katanya, operasi turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Indera Mahkota.
“Bomba berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran selepas hampir sejam operasi dijalankan.
“Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.






