POLIS sedang memantau aktiviti segelintir pengasas produk kosmetik dan usahawan jualan dalam talian yang mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial bagi mengesan kemungkinan berlakunya aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, walaupun setakat ini aktiviti perniagaan mereka tidak dikesan membabitkan unsur penipuan, tindakan mempamerkan wang tunai dan kemewahan secara berlebihan menarik perhatian pihak polis.
Beliau berkata, pemantauan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur pengubahan wang haram dalam urusan kewangan golongan terbabit.
“Mereka kini berada dalam radar kami. Kita pantau dari segi pengubahan wang haram.
“Kalau ada kesalahan, kita akan ambil tindakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
Menurut beliau, individu yang disiasat perlu mengemukakan dokumen sokongan termasuk resit serta rekod transaksi bagi menjelaskan sumber kewangan mereka.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, tindakan mempamerkan kekayaan di media sosial lazimnya bertujuan menarik perhatian orang ramai terhadap produk yang dipasarkan.
“Orang nampak kaya, nampak duit berkepuk-kepuk, jadi mereka fikir produk itu laris dan boleh membawa keuntungan besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan atau scammer serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Beliau turut menggesa masyarakat meningkatkan pengetahuan mengenai modus operandi sindiket penipuan, mengelakkan menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali serta menggunakan platform jual beli yang sah dan dipercayai.
“Kalau ada pelaburan yang menjanjikan untung besar dalam masa singkat, itu perlu dicurigai.
“Pegang pepatah orang tua-tua, ‘Bukan senang nak jadi senang’, supaya kita tidak mudah ditipu. Kalau malas sangat membaca, tanyalah ChatGPT bagaimana hendak mengelakkan scammer,” katanya.






