MAJLIS Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan Notis Kesalahan serta Tawaran Kompaun berjumlah RM25,000 terhadap pemilik sebuah restoran di tepi Sungai Kelantan kerana menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah.
Tindakan itu diambil susulan penganjuran program hiburan bertemakan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an yang berlangsung pada 3 Julai lalu sebelum rakaman program berkenaan tular di media sosial sejak kelmarin.
MPKB-BRI dalam kenyataan memaklumkan notis berkenaan diserahkan semalam menerusi satu pertemuan antara pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan bersama pemilik premis serta penganjur program bagi mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran acara terbabit.
Menurut kenyataan itu, sekiranya kompaun berkenaan gagal dijelaskan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh notis dikeluarkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
“Pertemuan itu juga bertujuan menjalankan siasatan serta memberi penjelasan berhubung kesalahan yang dilakukan mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025,” katanya.
Menurut MPKB-BRI, beberapa kompaun lain turut dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
Majlis menegaskan akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang serta syarat pelesenan.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan setiap aktiviti hiburan dan perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Semalam media melaporkan program hiburan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an yang diadakan di sebuah restoran popular di tepi Sungai Kelantan dikesan tidak mempunyai lesen hiburan.
Program yang dipercayai membabitkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita itu tular di Facebook sehingga mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI
FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus






