MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina Resources

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membenarkan penghakiman terus bagi tuntutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjumlah RM15.32 juta terhadap MajuBina Resources Sdn Bhd berhubung kegagalan syarikat itu menyiapkan kerja di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah mengikut tempoh ditetapkan.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, mahkamah turut memerintahkan syarikat berkenaan membayar kos sebanyak RM5,000 kepada suruhanjaya itu.

Menurutnya, tuntutan berjumlah RM15,324,832.31 itu membabitkan ganti rugi tertentu (liquidated damages) susulan kelewatan pelaksanaan kerja di bawah projek JENDELA 1, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Katanya, tindakan undang-undang berkenaan difailkan MCMC pada Februari lalu bagi menuntut bayaran ganti rugi akibat kegagalan syarikat terbabit menyiapkan kerja dalam tempoh kontrak yang dipersetujui.

Menurut MCMC, projek JENDELA 1 bertujuan memperluas liputan serta akses perkhidmatan komunikasi, khususnya di kawasan luar bandar dan lokasi yang masih kurang mendapat liputan.

“MCMC menegaskan bahawa setiap projek infrastruktur komunikasi yang dibiayai melalui dana USP perlu dilaksanakan mengikut obligasi kontrak dan tempoh yang telah dipersetujui.

“Pematuhan terhadap ketetapan ini penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta manfaat ketersambungan digital dapat dinikmati oleh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, keputusan mahkamah berkenaan turut memperkukuh kepentingan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek infrastruktur komunikasi negara.

Suruhanjaya itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan dana USP dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan komunikasi berkualiti.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here