113 pelarian dipindahkan secara berperingkat – Polis

KESEMUA 113 pelarian kebanyakannya etnik Rohingya yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur semalam dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri ditetapkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pergerakan keluar pelarian terbabit melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang berdasarkan kenalan dan saudara-mara mereka di tiga negeri terbabit.

“Proses dimulakan dengan pengecaman semula pemilik dokumen dan mereka dilepaskan secara bergilir melalui Pintu Utama IPK Kuala Lumpur. Majoriti pelarian terbabit menggunakan khidmat e-hailing ke destinasi dituju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 66 pelarian ke Kuala Lumpur, Selangor (29 orang) dan Pulau Pinang (18 orang).

Menurut Fadil, semasa berada di IPK Kuala Lumpur, tujuh wakil Malaysian Relief Agency (MRA) telah hadir bagi menyampaikan sumbangan makanan tengah hari dan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap pelarian itu.

Kumpulan itu tiba di ibu negara pada awal pagi Isnin dengan menaiki tiga bas selepas diusir oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang, sebelum mendirikan khemah dan menjadikan kawasan di hadapan pejabat UNHCR sebagai penempatan sementara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img