Kemelut dalaman parti tak jejas persediaan PH hadapi PRN Melaka, PRU

KEMELUT dalaman parti dijangka tidak menjejaskan persediaan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu tidak seharusnya mengganggu fokus parti dan kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.

“Kalau pilihan raya negeri itu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Ahli Parlimen (pula) di peringkat Persekutuan.

“Jadi, kita tidak lihat perkara itu akan mendatangkan apa-apa kesan. Tapi pada masa sama, fokus parti dan kerajaan Persekutuan adalah untuk menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Kasih Madani di IWK Eco Park, Kuala Lumpur hari ini, lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan timbul spekulasi peletakan jawatan Ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyatakan hasrat berbuat demikian menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat lalu.

Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang berada dalam kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa tidak dibenarkan mengakses sistem portal peruntukan khas (MyKHAS).

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail kemudian mendakwa berdepan situasi sama.

Susulan itu, ketiga-tiga mereka bersama Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai salah guna kuasa serius.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam mengesahkan beliau masih belum menerima sebarang surat daripada Ahli Parlimen lain berhubung perkara berkenaan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, PH akan terus memperkukuh organisasi parti dan memastikan jentera di peringkat cabang serta kawasan terus bergerak seperti biasa tanpa terkesan dengan sebarang kemelut.

“Kalau kita lihat, Keadilan (PKR) di Pandan dan Setiawangsa masih bergerak dengan cergas, tidak terkesan.

“Kita jangka akan terus berupaya untuk menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN Melaka, Fahmi berkata PH akan meneliti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi dan dimenangi.

Katanya, parti juga akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang berhasrat untuk bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Kita juga nampak bahawa kita perlu mengenal pasti calon-calon lebih awal dan memastikan jentera bersiap sedia untuk membantu memenangkan calon,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img