PH sambut baik keterbukaan BN runding agihan kerusi – Fahmi

PAKATAN Harapan (PH) menyambut baik keterbukaan Barisan Nasional (BN) berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, dan menyifatkannya sebagai peluang yang wajar diteliti.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keterbukaan berkenaan juga wajar disantuni demi masa depan serta kestabilan politik Melaka, selain kepentingannya terhadap negara.

“Pengerusi Keadilan Melaka Yang Berhormat Adam Adli juga ada memaklumkan beliau telah berhubung terus dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof (mengenai pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka).

“Saya rasa keterbukaan ini adalah peluang yang baik untuk kita teliti kerana kita tahu di Melaka, BN mempunyai 21 kerusi, manakala PH mempunyai lima kerusi. Jadi itu satu perkara yang realistik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gotong-royong Mega Perangi Aedes di kawasan Lembah Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sehubungan dengan itu beberapa perkara boleh diuruskan di peringkat negeri dan Persekutuan berhubung pengagihan kerusi DUN di Melaka.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu masih membuka ruang rundingan berhubung pengagihan, malah pertukaran kerusi bagi menghadapi PRN Melaka, asalkan dilakukan secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi parti masing-masing.

Ahmad Zahid turut berkata, prinsip asas rundingan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img