KEMENTERIAN Komunikasi mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawahnya untuk terus mengamalkan perbelanjaan berhemat dan memanfaatkan premis milik kerajaan termasuk Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk mengadakan program seperti latihan dan kursus.
Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan perbelanjaan kementerian dilaksanakan secara berhemat selaras dengan keadaan ekonomi semasa.
“Banyak daripada program latihan sebagai contoh boleh dilakukan di IPPTAR. Kalau sebelum ini, latihan dilakukan mungkin di hotel atau pun premis seperti itu, sebenarnya dalam Kementerian Komunikasi kita ada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) kita yang tersendiri, iaitu IPPTAR.
“Jadi saya telah minta supaya perkara ini disusuli dan tindakan terutama isu latihan itu dilaksanakan di IPPTAR,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, IPPTAR juga memaklumkan sejak kebelakangan ini pihaknya telah mendapat perhatian daripada banyak kementerian dan agensi untuk mengadakan latihan dan kursus.
Sementara itu Fahmi memberitahu, konflik yang berterusan di Asia Barat perlu diberi perhatian kerana kesannya akan turut dirasai oleh negara.
“Kita lihat di Timur Tengah, di Asia Barat, pada ketika kita melihat mungkin perang itu sudah selesai, tiba-tiba dalam seminggu kebelakangan ini, nampaknya seolah-olah belum lagi selesai. Ini akan ada kesan kepada ekonomi negara kita.
“Tapi sudah pasti kesan terutamanya (dari segi) ekonomi akibat daripada perang dan konflik yang berterusan di Asia Barat ini, akan terkena kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu Fahmi turut mengingatkan semua agensi untuk memahami isu yang mungkin kurang difahami di peringkat masyarakat setempat.
“Kita perlu berusaha untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan terutamanya adalah kerajaan yang bukan hanya mendengar, tapi responsif dan segera menyelesaikan isu dan masalah,” katanya.
Beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Komunikasi juga perlu memperkukuh penyebaran maklumat sahih melalui saluran rasmi dan merapatkan jurang demografi khususnya dalam kalangan Generasi Z dan Generasi Alpha.
Katanya, perubahan corak penggunaan media dalam kalangan generasi muda menuntut pendekatan baharu daripada kementerian dan agensi.
Merujuk dapatan kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fahmi berkata, bagi golongan berusia 18 hingga 35 tahun, sebanyak 87 peratus menjadikan WhatsApp sebagai sumber maklumat pertama diikuti Facebook dan TikTok.
Bagaimanapun, dapatan sama menunjukkan tahap kebolehpercayaan responden terhadap maklumat di platform berkenaan agak rendah iaitu sekitar 46 hingga 47 peratus.
“Manakala bagi sumber yang kita anggap sumber media ‘legacy‘ seperti surat khabar, TV dan radio, mereka (responden) melihat sumber ini tahap kebolehpercayaannya sangat tinggi.
“Mereka jarang membuka surat khabar, tapi sekiranya mereka nampak sesuatu berita dalam surat khabar, mereka percaya, (sebaliknya) mereka mendapat banyak maklumat informasi berita dalam WhatsApp, tapi tak tahu maklumat itu betul ataupun tidak,” katanya.
Fahmi dalam pada itu turut meminta semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi memperbanyakkan kandungan berkaitan patriotik bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan yang bermula 19 Julai hingga 16 September ini.
“Saya lihat ini peluang yang baik dalam tempoh bulan sambutan Bulan Kebangsaan untuk kita menyediakan kandungan yang memberi bukan hanya kesedaran, memberi sedikit peringatan tentang betapa pentingnya kita hidup rukun, aman damai, bersatu padu dalam sebuah negara seperti Malaysia,” katanya.






