SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkasa masyarakat dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) menerusi program ‘1Prompt Engineer, 1NADI’, yang bertujuan melahirkan seorang jurutera arahan (prompt engineer) AI di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr Mohd Arif Adenan berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan meningkatkan literasi digital komuniti agar tidak ketinggalan dalam menghadapi kepesatan perkembangan teknologi.
Beliau berkata, peserta akan mengikuti latihan intensif menggunakan modul khas yang diiktiraf Akademi MIMOS (Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia) sebelum berperanan sebagai ejen perubahan bagi membimbing komuniti memanfaatkan teknologi AI secara selamat dan bertanggungjawab.
“Maknanya, kalau komuniti nak tahu tentang AI, dia tak perlu menghadiri kelas bayar mahal-mahal, sebaliknya dia boleh rujuk kepada prompt engineer yang ditempatkan di setiap NADI.
“Hasrat kita adalah melahirkan bakat AI di kawasan luar bandar sekali gus memberi peluang kepada anak muda bekerja secara jarak jauh dari tempat tinggal masing-masing, tanpa perlu berhijrah ke bandar semata-mata untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mohd Arif berkata, kewujudan jurutera arahan di setiap NADI bukan sahaja dapat meningkatkan literasi AI dalam kalangan masyarakat, malah membantu mengelakkan penyalahgunaan teknologi serta mengurangkan risiko penipuan dalam talian.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada transformasi NADI 2.0 yang memperluas peranan pusat berkenaan daripada sekadar penyedia capaian Internet kepada hab pembangunan komuniti menerusi lima teras Perkhidmatan Pintar NADI.
Lima teras berkenaan meliputi keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesihatan, kesedaran digital dan keselamatan siber, serta penyebaran maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
Beliau berkata, sejak Perkhidmatan Pintar NADI diperkenalkan pada September 2024, lebih 21,000 ahli komuniti menyertai program keusahawanan yang turut membantu mereka mendapatkan akses kepada pembiayaan, pensijilan halal dan penambahbaikan pembungkusan produk.
Dalam bidang pendidikan, seramai 42,000 pelajar mengikuti Program Tuisyen Rakyat secara percuma, dengan 65 pelajar daripada golongan B40 berjaya memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Bagi perkhidmatan kesihatan, Mohd Arif berkata, lebih 147,000 pemeriksaan kesihatan asas meliputi tekanan darah, paras gula dan indeks jisim badan (BMI) telah dilaksanakan di NADI di seluruh negara.
“Melalui NADI 2.0, kita ubah pendekatan daripada inward kepada outward yang menjadikan bangunan NADI sebagai nukleus. Orang ramai tidak perlu lagi datang ke NADI untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.
Contohnya, NADI on Wheels (NOW) yang dilengkapi teknologi satelit dan pelbagai gajet digerakkan ke kawasan pedalaman termasuk rumah anak yatim, selain ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka baru-baru ini bagi meningkatkan capaian Internet untuk mangsa banjir,” katanya.
Mohd Arif berkata, MCMC turut memperluas akses kepada perkhidmatan menerusi portal nadi.my, yang membolehkan orang ramai mendapatkan kandungan pembelajaran, latihan keusahawanan dan modul digital secara dalam talian.
Beliau berkata, pendekatan itu melengkapi usaha menjadikan NADI sebagai hab transformasi digital komuniti yang kekal relevan selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan rakyat.






