Kenapa susah sangat BRN mahu tamatkan keganasan?

PADA 17 Jun lalu umat Islam menyambut tahun baharu Hijrah 1448, maknanya kita kini berada dalam bulan Muharam.

Seharusnya apabila kita memasuki tahun baharu hijrah, umat Islam perlu mencontohi penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bagi membina kehidupan lebih baik. Tetapi bagi Barisan Revolusi Nasional (BRN) seolah-olah tidak kira bulan apa sekalipun keganasan mereka tidak pernah mahu ditamatkan.

Atas sebab itulah pada 3 Muharam bersamaan 19 Jun lalu, mereka melancarkan tindakan ganas di Pattani dan Yala. Mereka bukan sahaja menyerang pasukan keselamatan malah turut menjadi sasaran puak pemisah itu ialah kemudahan awam .

Pada hari itu sekurang-kurangnya 12 anggota polis dan seorang anggota Rela cedera akibat serangan bom oleh BRN di dua daerah berkenaan. Kejadian pertama di Mayo, Pattani, lima anggota polis cedera ketika dalam perjalanan pulang selepas mendirikan pos sekatan.

Pada hari sama di Tan To, Yala enam anggota polis cedera dalam serangan bom ketika membuat rondaan manakala di Banang Sata, Yala seorang anggota Rela cedera di bahagian perut akibat ditembak oleh puak pemisah, tidak cukup itu mereka juga mengganas dengan membakar backhone di Banang Sata, Yala dan memasang bom jangka ke atas sebuah kereta peronda polis di kawasan Masjid Bukit Ta, Waeng, Narathiwat ketika anggota pasukan itu sedang solat Jumaat.

Kesemua kejadian pada hari  sama membuktikan BRN sebenarnya tidak berhasrat untuk mengembalikan kedamaian dan keamanan di Selatan Thailand. Sepatutnya Muharam dijadikan salah satu bulan untuk mencipta keamanan bukannya mencetuskan keganasan.

Malang sekali BRN yang mengaku berjuang untuk umat Islam melakukan tindakan bertentangan dengan ajaran Islam. Benar dalam Muharam tidak diharamkan untuk berperang tetapi atas alasan apa umat Islam dibenarkan mengangkat senjata?

Apakah kerana ada umat Islam di Selatan Thailand ditindas? Apakah ada umat Islam di wilayah itu diusir dari tanah air mereka? Adakah umat Islam di situ dihalang melaksanakan ibadah kepada Allah SWT?

Semua itu tidak berlaku sebaliknya yang sedang menindas umat Islam ialah BRN! Yang menyebabkan umat Islam lari dari Selatan Thailand kerana ancaman BRN? Yang mengganggu gugat Islam menunaikan ibadah dengan tenang adalah BRN?

Tidak pernahpun kita dengar umat Islam ditindas oleh pemerintah Thailand! Tidak adapun kita dengar berita ada umat Islam di wilayah itu diusir  dari tanah air mereka seperti mana dialami oleh pelarian Rohingya! Tidak adapun kita diberitahu umat Islam di Selatan Thailand tidak dibenarkan beribadah!

Sebaliknya yang kita tahu hidup mereka huru-hara kerana tindakan keganasan oleh BRN. Walaupun proses rundingan damai dijalankan namun tidak ada tanda-tanda BRN mahu menamatkan perbuatan tersebut.

Malah apa yang kita lihat rundingan itu sekadar ‘acara rasmi’sahaja untuk BRN merasakan kononnya mereka kelompok penting yang akan menentukan masa depan Thailand sedangkan merekalah sebenarnya sedang menghancurkan masa depan masyarakat Islam Selatan Thailand.

Sepatutnya apabila sudah terlibat dalam proses rundingan damai, BRN harus menamatkan semua tindakan ganas bukan meneruskannya ketika perbincangan sedang berlangsung.

Dalam mana-mana rundingan damai sekalipun apabila proses itu berjalan, gencatan senjata akan diperlakukan dan sebarang tindakan ganas dihentikan.

Tetapi keadaan ini tidak berlaku di Selatan Thailand, BRN dilihat terlalu sukar untuk menamatkan keganasan walaupun ketika rundingan sedang berlangsung. Sudah lebih 10 tahun rundingan dijalankan dan sepanjang tempoh itu keganasan terus berlanjutan.

 Sepatutnya BRN menamatkan keganasan kerana dengan car aitu sahaja barulah rundingan yang akan berjaya. Dan permintaan yang dikemukakan dalam rundingan pula janganlah ibarat membuat kerja-kerja sia-sia seperti mahu menuntut kemerdekaan. Ia kerana sudah pasti sampai kiamatpun Pemerintah Thailand tidak akan membenarkannya.

Oleh itu BRN sepatutnya membuat permintaan khususnya bagaimana mahu membangunkan ekonomi di wilayah selatan. Bukannya ketika Pemerintah Thailand sedang melakukan usaha itu  BRN menyerang infrastruktur bagi tujuan berkenaan!

Sebenarnya jika sikap itu berterusan  termasuklah melakukan serangan ganas lain ia bermakna BRN lah sebenarnya mensabotajkan usaha bagi mendamaikan Selatan Thailand, menggagalkan usaha memajukan ekonomi wilayah itu dan menghalang usaha mensejahterakan penduduknya.

Ia kerana selama ini Pemerintah Thailand tidak pernah meminggirkan wilayah berkenaan. Segala perancangan dilakukan bagi melaksanakan  pembangunan dan memajukan ekonominya. Tetapi semua itu dirosakkan oleh BRN melalui tindakan keganasannya.

Apa yang memalukan, BRN menuding jari menuduh  Pemerintah Thailand yang menjadi punca penduduk Thailand berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki. Hakikatnya  keadaan itu berlaku disebabkan tindakan ganas BRN.

Pemerintah Thailand dengan ikhlas meminta penduduk Selatan di luar negara kembali bagi membolehkan mereka bersama-sama memajukan Selatan Thailand termasuklah dari segi pelancongan.

Tetapi usaha itu tergugat kerana BRN melakukan serangan bom di Pattani, Yala dan Narathiwat. Kalau BRN menamatkan tindakan ganas mereka pastinya industri pelancongan di tiga wilayah mampu dimajukan.

Oleh itu BRN tidak ada pilihan.Mereka perlu memilih menamatkan keganasan bagi membolehkan proses rundingan damai berjalan dengan lancar atau menyaksikan proses itu dihentikan oleh Pemerintah Thailand.

Pemimpin BRN mungkin tidak berasa apa-apa kerana mereka hidup senang lenang di luar negara dan sering ke negara Eropah kononnya demi memperjuangkan isu Selatan Thailand. Tetapi bagaimana dengan rakyat di wilayah itu? Adilkah kehidupan mereka tergugat akibat BRN?

Serangan keganasan yang dilakukan oleh B RN dalam kawasan tidak memberi apa-apa kelebihan atau kuasa tuntutan kepada BRN di meja rundingan. Serangan keganasan ini menunjukkan ketidakikhlasan mereka dalam proses rundingan, malah ia akan mewujudkan keadaan konflik yang tiada penghujungnya. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa BRN sebenarnya mencari kuasa dan bukannya berjuang untuk rakyat seperti yang didakwa.

            Tapi sebaliknya, jika BRN tunjuk kesediaan dan keikhlasan untuk menhentikan keganasan, ia akan wujud suasana dan persekitaran yang menyokong kejayaan proses rundingan dan membawa keamanan sebenar di kawasan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img