Kenyataan Rubio bukti AS lebih utamakan kepentingan Israel di Gaza

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio membuktikan sikap sebenar negara yang bukan sahaja membiarkan Israel menghancurkan Gaza dan menjajah Palestin tetapi juga memastikan keselamatan Israel tidak akan diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Dalam kenyataan terbarunya, Rubio menegaskan bahawa Hamas tidak akan terlibat dalam pentadbiran Semenanjung Gaza, dan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA)  juga tidak akan memainkan sebarang peranan di wilayah yang dikepung itu.

“Semua pihak telah bersetuju bahawa Hamas tidak boleh mentadbir dan tidak boleh terlibat dalam pentadbiran masa depan Gaza,” kata Rubio kepada wartawan selepas melawat Pusat Penyelarasan Awam-Tentera (CMCC) di selatan Israel –  sebuah badan diketuai AS yang ditubuhkan bulan ini bagi menyelaras kerja-kerja pemulihan dan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Berhubung soal pelucutan senjata Hamas, Rubio menjelaskan, “Jika Hamas enggan dilucutkan senjata, itu akan menjadi pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata — dan ia perlu dikuatkuasakan.”

Bagaimanapun menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, Israel telah melakukan 80 pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata sejak ia berkuat kuasa pada 10 Oktober, mengakibatkan 97 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 200 lagi cedera.

Namun, Rubio mendakwa bahawa “Israel telah memenuhi komitmen mereka” di bawah perjanjian itu.

“Mereka kini berada di garis kuning, dan ia tertakluk kepada proses pelucutan senjata,” katanya.

Rubio turut menegaskan bahawa lebih 24 buah negara, termasuk kuasa-kuasa serantau dan negara-negara Arab, telah menandatangani perjanjian itu.

“Negara-negara majoriti Muslim juga menandatangani komitmen bahawa Gaza akan dinyahsenjatakan, dan Hamas tidak akan mempunyai keupayaan untuk mengancam Israel. Itu bukan sekadar komitmen AS — semua negara ini telah menandatanganinya, dan kami menjangkakan semua pihak akan menunaikan janji masing-masing,’’ katanya.

Rubio menekankan bahawa keselamatan Israel tidak boleh diancam oleh mana-mana unsur keganasan.

“Jika keselamatan Israel terancam,  sama ada dua, tiga, atau lima tahun dari sekarang dan Gaza kembali menjadi tempat di mana pihak yang mahu memusnahkan Israel boleh beroperasi tanpa halangan, maka keamanan tidak akan tercapai,” katanya.

Rubio turut mendedahkan bahawa banyak negara berminat untuk menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) bagi Gaza.

“Sudah tentu, apabila pasukan ini dibentuk, ia mesti terdiri daripada negara-negara yang boleh diterima oleh Israel,” ujarnya.

Beliau enggan mengulas sama ada AS menerima veto Israel terhadap penyertaan Turkiye dalam ISF.

“Saya tidak akan menyenaraikan siapa yang menawarkan, siapa yang ditolak. Cukuplah dikatakan bahawa banyak negara berminat untuk mengambil bahagian,” katanya.

Menurut laporan Israel Hayom, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menentang keras kemasukan pasukan tentera Turkiye ke Gaza.

Apabila ditanya mengenai peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan khususnya UNRWA dalam masa depan Gaza, Rubio menjawab:

“UNRWA tidak akan memainkan sebarang peranan. PBB ada di sini … termasuk Program Makanan Sedunia (WFP) dan pelbagai NGO. Kami bersedia bekerjasama dengan mereka jika ia dapat dilaksanakan — tetapi bukan dengan UNRWA. UNRWA telah menjadi anak syarikat Hamas,” katanya.

Namun, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) minggu ini menyatakan bahawa Israel gagal membuktikan dakwaannya bahawa sebahagian besar kakitangan UNRWA adalah ahli Hamas atau kumpulan bersenjata lain.

Rubio turut menyatakan bahawa AS ingin memperluas Perjanjian Abraham.

“Kami mempunyai banyak negara yang ingin menyertai,” katanya, namun enggan menyebut nama-nama negara tersebut.”

Berhubung undi di Parlimen Israel Knesset pada Rabu bagi mengesahkan aneksasi Tebing Barat yang diduduki, Rubio menjelaskan:

“Ia hanyalah tindakan politik oleh pihak tertentu untuk memalukan Netanyahu semasa lawatan Naib Presiden. Tindakan sebegitu juga boleh menggugat keseluruhan proses ini. Semua pihak harus faham bahawa jika perkara itu berlaku, banyak negara yang terlibat dalam usaha ini tidak akan mahu meneruskan kerjasama,” katanya.

“Itu ancaman terhadap proses damai, dan semua orang tahu. Tetapi saya tidak akan campur tangan dalam politik dalaman Israel. Fokus kami ialah keamanan dan keselamatan,” tegas Rubio.

Dalam mesyuarat faksi-faksi Palestin di Kaherah pada Khamis dan Jumaat, para peserta bersetuju untuk menyerahkan pentadbiran Gaza kepada sebuah jawatankuasa sementara terdiri daripada teknokrat bebas dari wilayah itu.

“Jawatankuasa ini akan mengurus urusan harian dan perkhidmatan asas dengan kerjasama negara Arab dan institusi antarabangsa, berdasarkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti nasional,” kata kenyataan bersama kumpulan tersebut.

Ia turut menyebut bahawa sebuah jawatankuasa antarabangsa akan ditubuhkan bagi menyelia pembiayaan dan pelaksanaan proses pembinaan semula Gaza, sambil menegaskan kesatuan sistem politik Palestin dan keputusan nasional yang bebas.

Antara kumpulan yang hadir ialah Hamas, Jihad Islam Palestin (PIJ), Barisan Pembebasan Palestin (PFLP) dan Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP).

Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel dengan sokongan Amerika Syarikat melancarkan serangan besar-besaran ke atas rakyat Gaza, yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai. Serangan ini telah mengorbankan lebih 68,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 170,000 orang.

Sebahagian besar penduduk telah kehilangan tempat tinggal, manakala kemusnahan infrastruktur dianggap paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 170,000 orang cedera dan 5,000 daripadanya menjadi amputi. Selain serangan ketenteraan, sekatan Israel turut menyebabkan kebuluran buatan manusia, yang telah meragut ratusan nyawa — kebanyakannya kanak-kanak.

Walaupun menerima kecaman antarabangsa yang meluas, tiada tindakan konkrit diambil bagi mempertanggungjawabkan Israel.

Negara itu kini disiasat atas tuduhan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), manakala Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai kanan Israel kini dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img