PENDEDAHAN demi pendedahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan yang dipecat daripada Bersatu dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung sepenggal oleh parti itu mula menimbulkan ‘rasa tidak selesa’ kepada kepimpinan parti yang tengah dilanda konflik dalaman tersebut.
Hari ini Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui surat pekeliling Bilangan 3 2025 mengingatkan pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan mana-mana pihak yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Menurut surat itu, setiap ahli mempunyai tanggungjawab mendukung matlamat dan tujuan parti, selain melaksanakan dasar-dasar parti selaras dengan Fasal 9.1 Perlembagaan Bersatu. Fasal 9.1.4 turut menegaskan pematuhan terhadap Perlembagaan Parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Mereka yang telah dijatuhkan hukuman sewajarnya menggunakan peruntukan selaras dengan Fasal 22.6 Perlembagaan Parti untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan, dan tidak bertindak di luar batas-batas Perlembagaan Parti.
“Fasal 22.1(d) mewajibkan ahli-ahli Bersatu mematuhi dan menghormati keputusan-keputusan parti, termasuk keputusan Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan,” kata surat berkenaan.
Turut diperingatkan dalam surat berkenaan adalah menjadi satu kesalahan jika mana-mana ahli parti bersubahat dengan pihak luar termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman, untuk menghasut ahli-ahli parti atau membuat kenyata yang mencemarkan nama baik serta maruah parti kerana perbuatan itu bercanggah dengan Fasal 22.1(f).
“Tindakan mana-mana ahli parti yang bersekongkol dan menyokong segelintir individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin adalah nyata melanggar Perlembagaan dan Tatakelakuan Ahli Parti.
“Badan Pimpinan Negeri bertanggungjawab memantau dan mengingatkan ahli-ahli parti di semua peringkat supaya mematuhi Perlembagaan Parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti.
“Sebarang kesalahan, salah laku atau pelanggaran peruntukan Perlembagaan Parti oleh mana-mana ahli akan dikenakan tindakan tegas seperti yang termaktub dalam Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” menurut surat berkenaan.


