NAIB Presiden Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ), Muhammad Ariff Haron meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi tadi.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Johor, Mohd Ridhwan Salamun berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menimpa Muhammad Ariff, 33, pada pukul 11.54 pagi.
“Almarhum maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan sebuah kereta semasa dalam perjalanan ke program Permukiman Pemuda Pas Negeri Johor di Pagoh.
“Difahamkan, awal pagi tadi almarhum keluar menghantar tiga anak dan isterinya di rumah mentuanya, di Ulu Tiram di sini dengan menaiki kereta.
“Dari rumah mertuanya, almarhum naik motosikal seorang diri menuju ke Pagoh berkejar untuk mengikuti program tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Muhammad Ariff yang merupakan Pengetua di Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Negeri Johor dikatakan tidak sempat mengelak sebuah kenderaan yang sedang berhenti di laluan kecemasan.
Akibatnya kata beliau, mangsa cedera parah dan terbaring atas jalan sebelum dibantu sekumpulan penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan tersebut.
Beliau berkata, almarhum merupakan seorang yang sangat komited dan gigih menjalankan tugas.
Tambahnya, jenazah almarhum disolatkan di Masjid Mukminin Bandar Tiram dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran hari ini.
“Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil dengan yang sulung berumur enam tahun,” katanya.


