STATUS Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung tahun ini dijangka diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang akan diadakan di Johor, esok.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut sebelum keputusan rasmi diumumkan.
“Esok Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat akan mengadakan mesyuarat bulanan di Johor dan status mengenai kongres tahunan akan diputuskan.
“Insya-Allah esok perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan, jadi kita perlu tunggu esok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet ketika ditanya sama ada PKR akan menangguhkan kongres tahunannya bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dalam pada itu, mengulas mengenai lokasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, Fahmi berkata, kerajaan masih meneliti beberapa perkara sebelum membuat pengumuman rasmi.
Menurutnya, lokasi sambutan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat bersama beberapa pengumuman lain yang berkaitan.
“Bagi HKHM, lokasi sambutan masih belum diumumkan, namun dalam masa terdekat ini ada beberapa perkara yang sedang diteliti oleh pihak kementerian sebelum kita membuat pengumuman.
“Kita akan umumkan beberapa perkara secara serentak,” ujarnya.


