MAHKAMAH Tinggi di Seremban hari ini membenarkan permohonan injunksi ad interim yang menghalang Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) daripada diadakan serta menghalang sebarang tindakan menyingkirkan Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin sehingga tindakan undang-undang yang difailkan diputuskan mahkamah.
Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan injunksi yang dikemukakan Raja Norazli dan DKU bagi mengekalkan status quo pentadbiran badan itu.
Perkara itu disahkan peguam kanan, Steven Thiru yang mewakili Raja Norazli dan DKU, lapor Buletin TV3.
Perintah sementara mahkamah itu menghalang plaintif sama ada secara langsung atau melalui wakil mereka daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat DKU termasuk Sidang Khas yang dijadual berlangsung hari ini.
Plaintif juga dilarang menggantung, menyingkirkan, menggantikan atau mengganggu Raja Norazli dalam melaksanakan tugasnya sebagai setiausaha DKU.
Plaintif dalam kes itu ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Mahkamah turut memerintahkan supaya tiada jawatankuasa, individu atau badan lain ditubuhkan atau diberikan kuasa untuk mengambil alih fungsi serta bidang kuasa setiausaha DKU.
Selain itu, plaintif dilarang membuat atau melaksanakan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran, tadbir urus, prosiding dan urusan DKU termasuk mengambil tindakan yang boleh mengubah status quo yang wujud sebelum 21 Mei lalu.
Menurut kenyataan berkaitan, injunksi itu akan terus berkuat kuasa sehingga isu bidang kuasa dan kebolehbicaraan kes didengar serta diputuskan oleh mahkamah dan selepas itu sehingga ada perintah lanjut dikeluarkan.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa injunksi berkenaan secara efektif menghalang plaintif daripada menyingkirkan Raja Norazli sebagai setiausaha, menjalankan sebarang urusan DKU serta mengeluarkan kenyataan media berkaitan perkara yang menyentuh badan itu.
Raja Norazli dan DKU diwakili barisan peguam terdiri daripada Steven Thiru, David Dinesh Mathew, Shafrin Halim, Gregory Das dan Gurjeevan Singh.
Plaintif pula diwakili Awang Armadajaya, Datuk Rhiza Ghazi dan Asmawi Ismail, manakala defendan ketiga diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal bersama Aala’uddin Baharom.


