![]()
PERJANJIAN Confidence and Supply Agreement (CSA) antara Kerajaan MADANI dan Bersatu tidak memperlihatkan keberkesanan yang jelas dalam membentuk persefahaman politik Pakatan Harapan (PH) – Bersatu di peringkat pengundi.
Firma Penyelidikan bebas ILHAM Centre dalam laporan kajian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyatakan, kerjasama yang berlangsung di belakang tabir tanpa penzahiran hubungan politik secara terbuka menyebabkan hala tuju kesepakatan tersebut gagal difahami oleh akar umbi.
‘’Pendekatan kerjasama secara ‘malu-malu’ ini mewujudkan ketaksaan dalam kalangan pengundi fence sitter yang tidak dapat mengenal pasti hubungan sebenar antara kedua-dua entiti politik. Ketiadaan mesej bersama menyebabkan penyokong PH dan Bersatu terus bergerak berdasarkan kesetiaan parti masing-masing tanpa dorongan yang jelas untuk menyatukan sokongan,’’ kata firma itu dalam laporan tersebut hari ini.
Menurut ILHAM Centre, berbeza dengan kerjasama BN–PN yang berjaya diterjemahkan kepada persefahaman jentera dan perpindahan undi, CSA Kerajaan-Bersatu tidak mempunyai mekanisme politik yang cukup berkesan di lapangan.
Kata firma itu, perundingan di peringkat kepimpinan semata-mata tidak memadai apabila pengundi tidak diberikan isyarat yang jelas mengenai kepentingan dan tujuan kerjasama tersebut.
‘’Kegagalan menjelaskan bentuk kerjasama akhirnya merugikan kedua-dua pihak apabila potensi penyatuan undi tidak dapat dimanfaatkan secara optimum. Dalam sistem pilihan raya First-Past- The-Post (FPTP), perpecahan undi antara parti yang berkongsi kepentingan politik boleh memberikan kelebihan besar kepada lawan yang berjaya menyatukan sokongan,’’ kata firma berkenaan.
Kata ILHAM Centre, pengalaman Melaka memberikan pengajaran bahawa PH dan Bersatu perlu lebih nekad memuktamadkan pakatan pilihan raya secara rasmi sekiranya mahu menjadikan kerjasama tersebut sebagai strategi menghadapi BN–PN.
‘’Tanpa kesepakatan yang jelas dari segi calon, pembahagian kerusi, naratif dan mobilisasi jentera, kerjasama politik sedemikian berisiko kekal sebagai persefahaman elit yang gagal diterjemahkan kepada undi,’’ kata firma itu.
Sementara itu, dapatan ILHAM Centre menunjukkan PH masih berjaya mempertahankan sokongan terasnya, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kelompok bandar yang mempunyai kecenderungan politik yang telah terbentuk.
Namun kata firma penyelidikan tersebut, kestabilan sokongan berkenaan tidak disertai pertambahan segmen pengundi baharu yang signifikan untuk membolehkan PH mencabar dominasi BN–PN.
‘’Kekuatan PH masih tertumpu kepada kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Cina lebih besar serta kelompok pengundi yang konsisten menolak BN. Sebaliknya, usaha memperluas pengaruh kepada pengundi Melayu, pengundi fence sitter dan kelompok luar bandar belum menunjukkan perubahan yang mampu mengalihkan keseimbangan persaingan.
‘’Kegagalan membina naratif induk yang kuat turut mengehadkan keupayaan PH menarik pengundi yang sebelum ini tidak mempunyai keterikatan dengan gabungan tersebut. Kempen yang banyak bergantung kepada kekuatan calon secara individu tidak mencukupi untuk mencetuskan gelombang sokongan baharu pada skala seluruh negeri,’’ kata firma itu.
ILHAM Centre memberitahu, dalam kalangan pengundi yang masih belum membuat keputusan, PH juga gagal menampilkan tawaran politik yang benar-benar berbeza daripada kerajaan negeri sedia ada.
‘’Keadaan ini menyebabkan sebahagian pengundi lebih selesa mengekalkan pilihan terdahulu atau memberikan kelebihan kepada gabungan yang dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk menang.
‘’Kesannya, PH berada dalam keadaan sokongan yang stabil tetapi tidak berkembang, sekali gus mengehadkan potensi kemenangan kepada kerusi tradisi dan beberapa kawasan marginal. Tanpa penembusan segmen baharu, PH berisiko kekal sebagai blok politik yang mempunyai sokongan konsisten tetapi tidak cukup besar untuk mengubah penguasaan kerajaan negeri,’’ kata firma tersebut.





