KERAJAAN MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu, termasuk menambah bilangan premis perjudian di negara ini.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa ketika ini kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.
“Merujuk kenyataan Menteri Besar Kedah berkaitan isu lesen judi di Kedah yang dilaporkan media baru-baru ini, kenyataan terbabit jelas mengelirukan.
“Ia memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri berkenaan,” menurut kenyataan MoF yang dikeluarkan hari ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan ketika ini, mempunyai kuasa memutuskan sama ada membenarkan aktiviti perjudian di Kedah atau menghalangnya.
Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai dasar tidak memperbaharui lesen perniagaan perjudian.
Mengulas lanjut, MoF berkata, kementerian itu sememangnya menetapkan syarat yang ketat kepada pemegang lesen.
“Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, MoF menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi Pas, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Menurut kementerian itu lagi, berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan pada 2020 memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Bagaimanapun, kata MoF, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada 2020 memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.





