KERAJAAN bersetuju meneruskan inisiatif BUDI Agri-Komoditi secara bersasar bagi membantu pekebun kecil, pengusaha dan golongan rentan yang terkesan akibat tekanan ekonomi serta krisis rantaian bekalan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebooknya berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang turut mendengar pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
“Kerajaan MADANI memahami denyut nadi rakyat yang sedang berdepan tekanan kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya dalam hantaran tersebut.
Anwar berkata, mesyuarat itu turut menyentuh isu jaminan kesihatan rakyat khususnya berkaitan bekalan ubat di negara ini.
Menurutnya, secara keseluruhan bekalan ubat masih berada pada tahap stabil namun KKM akan terus memantau sebarang cabaran berkaitan rantaian stok dan harga.
“Terkait dengan jaminan kesihatan rakyat, secara keseluruhannya, bekalan ubat masih stabil dan KKM akan terus memantau dengan rapi sebarang cabaran rantaian stok mahupun harga bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa keadaan,” ujarnya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus bekerja keras, bertindak dengan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara.


