KERAJAAN sedang meneliti cadangan mewajibkan pengesahan identiti pengguna dan nombor telefon yang dipautkan kepada akaun WhatsApp bagi membendung kegiatan penipuan menerusi aplikasi berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dipertimbangkan susulan kebimbangan beberapa negara terhadap penyalahgunaan WhatsApp bagi tujuan panggilan penipuan atau scam.
Katanya, isu berkenaan turut dibangkitkan dalam perbincangan di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), baru-baru ini.
“Pada masa ini, WhatsApp tidak menetapkan syarat pengesahan akaun. Namun, beberapa negara telah membangkitkan isu penyalahgunaan platform itu untuk kegiatan panggilan scam ketika perbincangan di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) baru-baru ini.
“Antara langkah yang sedang diteliti ialah pengesahan identiti pengguna serta nombor telefon yang dipautkan kepada akaun WhatsApp,” katanya kepada media ketika ditemui pada Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Razak Mansion, di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, langkah tambahan itu perlu diteliti susulan perubahan modus operandi sindiket penipuan yang kini menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdaya mangsa.
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini melaksanakan perubahan teknikal yang berjaya mengekang panggilan menggunakan kaedah penyamaran nombor telefon atau ‘spoofing’.
Bagaimanapun, beliau berkata, sindiket penipuan terus mencari pendekatan baharu bagi meneruskan kegiatan mereka.
“Tapi pihak scammer mereka beralih kepada cara scam yang berbeza. Jadi ini kita nampak perlu beberapa tindakan tambahan,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan mencurigakan dan tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali, termasuk mereka yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.





