SEBUAH kereta BMW bernombor pendaftaran Brunei musnah dalam kebakaran di kawasan gudang lojistik sebuah syarikat di Piasau, Miri lewat malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menerima panggilan kecemasan jam 11.15 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral bergegas ke lokasi kejadian kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Jentera pertama tiba di lokasi jam 11.22 malam dan mendapati sebuah kereta BMW telah terbakar 100 peratus. Dua pekerja kilang dilaporkan cuba memadam kebakaran menggunakan enam unit alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.
Bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu nozel buih serta dua tong buih, lapor Berita Harian.
Kebakaran dapat dikawal jam 11.40 malam dan ditamatkan jam 12.15 tengah malam.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.


