KERJASAMA Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka akan datang tidak semestinya menjamin peralihan undi secara menyeluruh dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan, walaupun di atas kertas ia dilihat memberi kelebihan kepada mereka.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari berkata, hal ini kerana penyokong kedua-dua gabungan tidak semestinya menerima kerjasama itu, selain faktor pengundi baharu yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Beliau berkata, sebahagian pengundi PN sebelum ini memilih gabungan itu kerana tidak mahu mengundi BN, justeru kerjasama tersebut mungkin memberi kesan terhadap sokongan sedia ada.
“Sebagai contoh, berdasarkan rekod pada PRN Negeri Sembilan, kadar peralihan undi tertinggi yang pernah dicapai ialah 70% … ini menunjukkan masih ada baki 30% undi BN yang mungkin tidak akan beralih kepada PN tetapi pada PRN Melaka, kadar itu boleh jadi 60 atau 50% bergantung kepada penerimaan penyokong masing-masing,” katanya selepas program Ziarah Kasih di Rumah Awam Bukit Beruang hari ini.
Adly berkata demikian ketika diminta mengulas tahap keyakinan beliau sebagai calon PH bagi DUN Bukit Katil untuk mempertahankan kerusi itu pada PRN Melaka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor pengundi baharu di DUN itu, dianggarkan hampir 4,000 orang, juga boleh memberi kesan terhadap corak pengundian kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai sentimen kepartian yang kuat.
Adly yang juga bekas ketua menteri berkata, DUN Bukit Katil juga ialah kawasan campuran dengan kira-kira 65% pengundi Melayu diikuti Cina (29) dan India (lima), manakala taktik memainkan sentimen bangsa serta agama bagi meraih undi bukan jaminan untuk meraih sokongan pengundi yang berpecah kepada beberapa parti.
“Kalau kita lihat pada PRN lepas, sokongan orang Melayu pada PH melebihi daripada 27% dan kita akan cuba pertingkatkan pada PRN kali ini,” katanya menambah, rekod pentadbiran selama lapan tahun sebagai ADUN itu juga antara kelebihan dalam usaha memperoleh mandat pengundi bagi penggal ketiga.
Di DUN Bukit Katil, Adly akan berdepan saingan empat penjuru dicabar Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN), Dr Aliza Che Amran (Bersama) dan Abu Bakar Sabudin (Bebas).
Pada PRN lepas, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,057 undi.





