‘’Kerjasama mesti ikhlas, bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu-Islam’’ – Tok Mat Hasan

TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan,  parti itu tidak pernah sekalipun menutup ruang untuk kesatuan bangsa Melayu dilaksanakan rentas parti dan senantiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa dan agama.

Tegas beliau, jika sesiapa juga yang datang kepada UMNO dan menggagaskan kesatuan Melayu, UMNO akan menyambutnya dengan berlapang dada.

‘’Tetapi kerjasama itu mestilah ada kejelasannya. Pertama, ia mestilah dianjurkan dengan niat yang ikhlas, bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu Islam. Bukan berjeda dan terputus-putus.

‘’Bukan bermusim dan bukan sama sekali untuk mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan UMNO,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanit,Pemuda dan Puteri UMNO di Kuala Lumpur, mala mini.

Mohamad berkata,  UMNO pernah dipermainkan dalam politik perpaduan Melayu Islam ini.

‘’Kita tidak akan lupa pengalaman pahit itu. Justeru UMNO tidak akan membiarkan ia diperbudakkan lagi. Kerana itu UMNO amat berhati-hati. UMNO tidak mahu pengalaman buruk itu berulang lagi. Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, insya’Allah. Justeru, penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa, dalam apa jua keadaan,’’ katanya.

Mohamad berkata, kejelasan kedua ialah mesti bersandarkan visi ‘Rumah Bangsa’ yang UMNO pelopori.

‘’Apa sahaja kerjasama politik bangsa Melayu yang tidak dimeterai dalam semangat dan aspirasi ‘Rumah Bangsa’, tidak akan menguntungkan UMNO.  Kerjasama ini mesti dinaungi oleh UMNO. Ia mesti menjadikan UMNO itu asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepada kepentingan Melayu.

‘’ UMNO lah yang telah membidani kelahiran nasionalisme Melayu, dan ia akan terus menjadi payung yang memayungi kesatuan bangsa Melayu untuk selamanya.  Justeru janganlah mempunyai prasangka terhadap visi “Rumah Bangsa” hanya kerana ia diilhamkan oleh UMNO,’’ katanya.

Beliau menegaskan,  kejelasan ketiga, apa juga kerjasama politik yang diusahakan dalam konteks perpaduan Melayu Islam, mestilah luwes atau flexible.

‘’UMNO tidak memerlukan perikatan-perikatan politik baru. UMNO akan kekal dengan Barisan Nasional, kini dulu dan selamanya. Segala kerjasama, mestilah luwes. Persefahaman dan kerjasama yang longgar, bukan perjanjian yang mengikat.

‘’Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan untuk bertindak sesuai dengan perhitungan politiknya,’’ katanya.

 Keempat kata Mohamad, UMNO tidak suka terhutang budi, apatah lagi berharap dengan naungan parti lain, untuk kelangsungan sokongan Melayunya.

‘’ UMNO telah dan akan terus membangunkan kekuatan tersendiri seperti sebelumnya. Kepada mereka yang telah membantu UMNO secara langsung atau tidak langsung, kita zahirkan ucapan terima kasih.

‘’ Tetapi selama mana UMNO harus berharap kepada bantuan dan budi baik rakan politiknya? Parti ini mempunyai pengalaman tersendiri, dan ia akan memanfaatkan pengalaman tersebut untuk membina ketumbukan sokongan yang ‘solid’ dan ampuh di kalangan bangsa Melayu,’’ katanya.

Belkiau menegaskan,  mengharapkan ihsan dan bantuan, bukan sesekali fikrah UMNO.

‘’Fikrah UMNO ialah, ia yang seharusnya memberi perlindungan dan naungan kepada bangsa Melayu, insyallah,,’katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here