Hayat UMNO tidak boleh bergantung perhitungan,kekuatan parti lain – Tok Mat Hasan

HAYAT  UMNO tidak boleh menyandarkan  kepada perhitungan dan kekuatan parti lain, sebaliknya   UMNO mesti berdikari.

 Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu harus membangunkan kekuatannya dengan cara dan strategi sendiri.

‘’Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri.  Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan.

‘’Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu, akan lebih memudaratkan UMNO. Pergantungan kepada orang lain, adalah formula politik yang tempang. UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri di Kuala Lumpur mala mini.

Mohamad berkata, UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim, sebaliknya UMNO perlu mengembalikan kekuatan kita sendiri, agar akhirnya, kita tidak perlu bergantung dengan orang lain untuk berkelangsungan.

Dalam ucapan yang disifatkan pandangan peribadi beliau, Mohamad mengimbaskan kembali perjalanan politik UMNO sejak parti itu  tergelincir dari persada kuasa pada Mei 2018 adalah momen yang tidak mungkin dilupakan.

‘’Ia bukan sahaja trajis tetapi juga menerbitkan rasa ketundukan dan mengajar kita semua rendah diri. Tiada yang kekal pada mereka yang berkuasa. Tiada yang abadi dalam politik dan sebuah pemerintahan.

‘’Semuanya akan menempuh kitaran zaman. Maka demikianlah yang sedang UMNO lalui. Semenjak itu, UMNO telah melakukan banyak sekali usaha untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kebingkasan politiknya. Namun cabarannya menggunung dan luar biasa,’’ katanya.

Sebahagian Perwakilan Wanita UMNO yang menghadiri majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita,Pemuda dan Puteri di Kuala Lumpur malam ini – Gambar AMIRUL FAHMI.

Mohamad berkata, sebelum 2018, UMNO tidak pernah sekali pun duduk di kerusi pembangkang di Parlimen.

‘’Ia telah terbiasa menjadi Kerajaan. Jadi bayangkan kecamukan yang UMNO hadapi bila ia tidak menjadi nakhoda Kerajaan. Pelbagai formula telah UMNO terokai untuk kembali menjadi pelengkap kestabilan politik Malaysia.

‘’Ia menyertai Kerajaan Perikatan Nasional pada Mac 2020. Kemudian ia mengetuai Kerajaan Keluarga Malaysia pada Ogos 2021. Dan pada November 2022, UMNO bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan hingga hari ini,’’ katanya.

Beliau menegaskan, semua penyertaan ini walau bagaimanapun UMNO itu tersingkir, ia adalah pelengkap yang penting untuk kestabilan negara.

‘’Angkubah penting untuk politik yang stabil di Malaysia mestilah melibatkan UMNO. Cabarannya ialah, UMNO bekerjasama dengan mereka yang telah menjadi seteru politiknya selama berdekad-dekad. UMNO berdepan dengan pelbagai tomahan, tuduhan dan kecaman. UMDAP itu menjadi siulan yang sangat menyakitkan

‘’Namun UMNO terus kan jua, kerana tiada yang lebih strategik dari mempunyai peranan dalam Kerajaan, dari hanya menjadi pembangkang. Kemudian saudara dan saudari sekalian, pelbagai PRK dan PRN berlaku dan UMNO terus bereksperimen dengan strategi politik sesuai semasa,’’ katanya.

Mohamad berkata,  ramai orang mengungkap pendirian UMNO semenjak 2018, sebagai suatu ‘enigma politik’.

‘’Politik yang senantiasa misteri, kadang-kadang membingungkan dan menimbulkan banyak sekali teka-teki daripada kejelasan.  UMNO pada mereka senantiasa licik. Arah koalisi, strategi parti dan pendekatan kepimpinan, kadang-kadang tidak boleh difahami dengan mudah,’’ katanya.

Kata beliau,  posisi ‘enigma politik’ ini berlaku hanya kerana dua sebab.

‘’Pertama, semuanya menjurus kepada ‘survival UMNO’. Semenjak 8 tahun lepas, UMNO adalah dalam ‘mod bertahan hidup’. UMNO telah dan akan terus meneroka segala kemungkinan, merumus dan menilai segala ancaman, hanya untuk ‘survival politiknya’,’’ katanya.

Oleh itu tegas beliaum jadi hentikan segala tohmahan terhadap UMNO.

‘’Kita tidak menikam sesiapa. Kita tidak khianat pada mana-mana pihak. Kita hanya mengusahakan ikhtiar terbaik, untuk berkelangsungan dan berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan.

‘’Kita tidak membenci sesiapa atau memusuhi sesiapa. Kita hanya mahu UMNO ini bangun semula. Akhirnya, yang ingin UMNO temui ialah, kebarangkalian yang terbaik untuk UMNO dan masa depannya.

‘’ Kedua. UMNO juga sangat menyedari bahawa ia tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH atau PN. Tidak Pas. Apatah lagi DAP,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here