KEHILANGAN sebuah kapal nelayan bersama tiga anak kapal sejak Oktober lalu di Sandakan, Sabah kini mendapat perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berjanji akan menyiasat kejadian itu.
Ini kerana kementerian itu sebelum ini tidak dimaklumkan mengenai kes berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, beliau akan meminta semakan lanjut dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Tiada dalam maklumat saya… Nanti saya semak dulu,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Sembang Santai Bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution di Sandakan hari ini.
Sinar Harian pada Jumaat lalu menyiarkan laporan bertajuk Misteri tiga kru kapal nelayan Sandakan ‘ghaib’ lebih sebulan.
Kapal milik sebuah syarikat tempatan di Sandakan itu dilaporkan keluar menangkap ikan sebelum hilang dan gagal dikesan.
Kesemua kru kapal turut gagal dihubungi hingga hari ini. Ketiga-tiga mereka dikenali sebagai Ramdan Ahzari, Ridwan Muhammad dan Risal Japar.


