Kes rasuah : Rayuan ditolak, Guan Eng, Betty Chew, Phang Li Koon akan dibicara

MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew dan Ahli Perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram RM11.6 juta.

Sehubungan itu ketiga-tiga mereka akan dibicarakan atas pertuduhan berkenaan.

Rayuan yang dilakukan adalah tertumpu kepada persoalan sama ada pertuduhan tersebut perlu dibatalkan atas alasan wujud penyalahgunaan proses serta penggunaan keterangan yang didakwa berkait dengan kes terdahulu melibatkan pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang oleh Guan Eng yang mana beliau telah dilepas dan dibebaskan pada 2018.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan atas sebab tiada kekhilafan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Prinsip autrefois acquit (sebelum ini dibebaskan) autrefois convict (sebelum ini disabitkan) dan estoppel (dihalang) tidak terpakai.

“Pertuduhan yang dikenakan pada perayu-perayu menyentuh isu yang berbeza dengan pertuduhan yang telah dilepaskan dan dibebaskan sebelum ini,” kata Hakim Noorin ketika membaca penghakiman.

Kes rasuah dan pengubahan itu akan disebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 Julai ini, lapor Buletin TV3.

Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan membatalkan pertuduhan itu dengan memutuskan bahawa doktrin autrefois acquit atau perlindungan daripada dibicarakan dua kali atas kesalahan sama tidak terpakai kerana syarat perundangan yang diperlukan tidak dipenuhi.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan pertuduhan semasa adalah berdasarkan fakta berasingan dan berbeza, yang diperoleh menerusi siasatan lanjut selepas prosiding terdahulu selesai.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk memperoleh suapan berkaitan kelulusan projek itu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Perniagaan, Li Koon pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu di tempat dan masa sama.

Sementara, Isteri Guan Eng, Betty Chew berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram kerana didakwa menerima RM372,009 daripada Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya antara 2013 hingga 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img