Bekas pensyarah UiTM terus berbakti, derma organ bantu lima pesakit

BEKAS pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Normah Sabar, 72, terus menabur jasa meskipun selepas pemergiannya apabila organ dan tisu yang didermakan dijangka menyelamatkan serta mengubah kehidupan sekurang-kurangnya lima pesakit.

Hasrat murni Allahyarhamah yang sebelum ini berikrar sebagai penderma organ ditunaikan oleh ahli keluarganya selepas beliau disahkan mengalami kematian otak.

Pada 21 Jun lalu, amanah tersebut disempurnakan apabila keluarga Allahyarhamah bersetuju meneruskan proses pendermaan organ dan tisu sekali gus memberi peluang baharu kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ untuk meneruskan kehidupan.

Hospital Sungai Buloh menerusi satu kenyataan memaklumkan, kes pemerolehan organ tersebut turut melakar sejarah baharu menerusi kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Usaha itu turut melibatkan Pasukan Pembedahan Hepatobiliari Universiti Malaya dalam menjayakan pemerolehan organ berkenaan.

“Di masa hidupnya mendidik anak bangsa, di akhir nafasnya tetap menabur jasa.

“Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Allahyarhamah meninggal dunia pada 20 Jun lalu.

Sebagai penghormatan terakhir, kakitangan Hospital Sungai Buloh berbaris di sepanjang koridor menerusi acara Walk of Honour sebelum proses pendermaan organ dijalankan.

Hospital Sungai Buloh turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Allahyarhamah atas kesediaan mereka menunaikan amanah tersebut walaupun berdepan kehilangan insan tersayang.

Allahyarhamah bukan sahaja dikenali sebagai bekas pensyarah UiTM, malah mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang bergelar juruukur profesional.

Sementara itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menerusi hantaran berasingan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah yang disifatkan sebagai juruukur wanita pertama negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img