Kes rogol suka sama suka makin serius…mana suara puak pejuang keadilan?

ANALISIS

 PADA 21 Oktober berlalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kes  rogol di negeri itu meningkat dengan kebanyakan kes membabitkan suka sama suka.

Katanya, sepanjang Januari sehingga September, kes rogol merekodkan 131 kes berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 114 kes

“Majoriti kes rogol di Kelantan adalah suka sama suka dan di bawah umur yang mana kes ini akhirnya keluarga atau pihak hospital tahu, mereka tampil membuat laporan polis. Mungkin ada juga yang tidak membuat laporan polis kerana keluarga malu disebabkan ia membabitkan kes suka sama suka,’’ kata beliau.

Paling serius apabila Mohd Yusoff mendedahkan,’’ “Kes rogol yang kita kesan setakat ini berlaku di rumah mereka sendiri iaitu ada yang mengikut lelaki pergi rumah atau lelaki dijemput datang rumah perempuan. Malah ada juga situasi baru kenal seminggu sudah ‘bersama’.

SEMALAM di JITRA, Polis Kedah mendedahkan bahawa sebanyak 91 peratus kes rogol bawah umur yang direkodkan di negeri itu melibatkan hubungan suka sama suka antara remaja.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah menyifatkan perkara itu sebagai satu keadaan yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Menurutnya, sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 100 kes rogol bawah umur dilaporkan dan daripada jumlah itu, 91 kes berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak.

“Apabila kita sebut ‘suka sama suka’, ia bukan bermaksud tidak ada kesalahan. Ini menunjukkan wujudnya masalah sosial yang semakin parah dalam kalangan remaja kita. Sebab itu, saya tekankan bahawa isu ini mesti ditangani secara menyeluruh.

“Pihak polis, pendidik dan agensi lain sedang bekerjasama dalam pelbagai pendekatan untuk mengekang gejala ini,” katanya ketika ditemui media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba di Jitra, semalam.

Kata beliau, kebanyakan kes melibatkan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun yang menjalinkan hubungan tanpa pengawasan ibu bapa termasuk keluar rumah pada waktu malam.

“Kalau anak berumur 13 atau 15 tahun masih keluar malam, ibu bapa perlu tanya ke mana mereka pergi dan dengan siapa. Kita perlu kembali kepada nilai masyarakat lama yang saling ambil tahu, bukan membiarkan anak bebas tanpa kawalan. Kalau masyarakat lebih prihatin dan tidak takut untuk menegur, saya yakin jumlah kes ini boleh dikurangkan,” ujarnya.

Penulis tertanya-tanya mana suara puak-puak yang sebelum ini ‘begitu emosi’ apabila Mohd Yusoff mencadangkan supaya hukuman juga dikenakan kepada perempuan bawah umur yang terlibat dalam kes suka sama suka.

Sebelum ini macam-macam mereka berhujah mengatakan cadangan Mohd Yusoff tidak wajar tetapi melalui kenyataan dibuat oleh Ketua Polis Kedah ia membuktikan ‘kes suka sama suka’ ini semakin serius.

Oleh itu sesuatu perlu dilakukan jika kita betul-betul  mahu membendung kes rogol gadis bawah umur. Undang-undang sedia ada perlu dipinda bagi membolehkan tindakan juga dikenakan kepada gadis berkenaan kalau benar-benar ia kes suka sama suka.

Adalah tidak diadil kalau pihak lelaki sahaja menerima hukuman sedangkan dalam sesetengah seperti mana dikatakan oleh Ketua Polis Kelantan, ‘’ ada yang mengikut lelaki pergi rumah atau lelaki dijemput datang rumah perempuan. Malah ada juga situasi baru kenal seminggu sudah ‘bersama’.

Kalau begitu keadaannya sahlah sama-sama suka, tidak timbul soal dirogol. Jika dirogol sudah pasti ia secara paksaan dan si mangsa akan mengadu kepada ibu bapa mereka, tetapi kebanyakan kes itu didedahkan oleh orang lain.

Betul memang undang-undang sudah menetapkan sedemikian, suka sama suka dengan gadis bawah umur tetap salah dan akan dikenakan hukuman penjara dan sebatan, tetapi bagaimana dengan gadis terlibat? Apa pengajaran dia atau gadis-gadis lain boleh pelajari?

Sepatutnya gadis pun dihukum atau sekurang-kurangnya dihadap ke mahkamah syariah atas tuduhan berzina.

Penulis berharap puak-puak yang kononnya memperjuangkan keadilan akan bersuara bagi memastikan hukuman rogol dalam kes suka sama suka lebih adil dan memberi pengajaran. Janganlah sama-sama seronok, akhirnya seorang sahaja menangis dalam penjara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img