SEORANG pelajar perempuan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, esok atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya di sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, keputusan mendakwa remaja berusia 19 tahun itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Menurutnya, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya.
“Polis sudah merujuk kertas siasatan terbabit semalam dan ia diteliti oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor sebelum arahan pendakwaan dikeluarkan.
“Berdasarkan arahan itu, remaja perempuan berusia 19 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa membunuh bayi baru dilahirkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, teman lelaki suspek yang turut ditahan sebelum ini telah dibebaskan dan akan bertindak sebagai saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
Sebelum ini, polis menahan dua pelajar kolej bagi membantu siasatan selepas menerima laporan mengenai seorang pelajar perempuan dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom kerana dipercayai baru melahirkan anak.
Kes itu terbongkar apabila pelajar berkenaan dibawa ke hospital oleh guru bertugas selepas mengadu tidak sihat.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati pelajar itu baru melahirkan seorang bayi, selain masih mengandungkan seorang lagi bayi.
Siasatan turut mendapati teman lelaki suspek mengaku memberikan wang sebanyak RM450 kepada remaja itu bagi tujuan menggugurkan kandungannya.
Pemeriksaan awal terhadap bayi yang ditemukan itu turut menemui beberapa kesan tikaman pada tubuh mangsa, manakala punca sebenar kematian masih dalam siasatan.






