KESELAMATAN negara perlu bermula di setiap rumah dan keluarga, bukan lagi dilihat sebagai tanggungjawab pasukan keselamatan serta agensi penguatkuasaan semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan bentuk ancaman keselamatan masa kini menuntut rakyat memahami bahawa risiko tidak lagi terbatas kepada sempadan, ketenteraan atau penguatkuasaan.
Menurutnya, ancaman baharu termasuk keselamatan siber, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum boleh memberi kesan secara langsung kepada keluarga serta individu.
“Kita dah beralih daripada pemahaman keselamatan itu dari segi konvensional, pemahaman lama di mana keselamatan itu tanggungjawab pasukan keselamatan, tentera, polis dan juga agensi-agensi penguatkuasaan.
“Tapi sekarang ini dia telah menerobos ke setiap rumah, setiap orang, setiap wajah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini, lapor BH.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.
Majlis kali ini menggabungkan Majlis Pelancaran Bulan Keselamatan Negara dengan National Cyber Security Summit (NCSS) 2026.
Pada majlis sama, Anwar turut merasmikan NCSS 2026, Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi), Pelan Tindakan MyKriptografi dan Kerangka Keselamatan Siber bagi Sistem Kecerdasan Buatan (AI Systems Cybersecurity Framework – AISCF).
NCSS 2026 dianjurkan pada 7 hingga 9 Julai 2026 dengan tema ‘Strengthening Sovereign Resilience’ di PICC Putrajaya.
Anwar berkata, kefahaman lama bahawa keselamatan hanya urusan agensi keselamatan dan penguatkuasaan perlu diubah kerana risiko boleh bermula jika tidak dikawal pada peringkat keluarga.
“Rakyat terutama anak muda perlu diberi pencerahan, latihan dan kefahaman mengenai pendekatan serta teknologi baharu yang berkait dengan keselamatan negara.
“Sukar bagi orang terlatih bahawa keselamatan itu bukan masalah rakyat, itu masalah agensi keselamatan dan penguatkuasaan untuk menukar, mengalih daripada pendekatan kefahaman lama kepada yang baru.
“Bahawa dia kalau tidak dikawal tiap keluarga, tiap rumah tangga maka risiko keselamatan itu ada,” katanya.
Perdana Menteri berkata, konsep perlindungan seperti firewall tidak lagi harus difahami dalam konteks sistem teknologi semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, benteng keselamatan juga perlu wujud dalam keluarga bagi melindungi anak-anak daripada ancaman nilai, fahaman merosakkan dan perkara yang boleh menggugat keselamatan negara.
“Seolah-olah kalau dulu disebut firewall di dalam sistem, firewall itu patut didirikan di hampir tiap keluarga supaya dapat menjaga bukan saja dari segi akhlak dan nilai anak-anak.
“Tetapi kemungkinan dirasuk dengan fahaman-fahaman yang boleh merosakkan dan mengancam keselamatan negara,” katanya.
Anwar berkata, teknologi baharu membolehkan ancaman memasuki masyarakat dengan cara berbeza berbanding dahulu.
“Jika sebelum ini ancaman memerlukan kehadiran fizikal untuk menerobos masyarakat, kini ia boleh berlaku melalui teknologi maklumat, AI dan teknologi kuantum.
“Ada orang datang kalau dulu ada upaya untuk menerobos pada masyarakat sekarang dia boleh menggunakan pendekatan dengan teknologi baru, teknologi maklumat, AI dan yang sekarang ini kuantum yang sekarang kita berikan penekanan.
“Jadi sebab itu kita juga adakan Dasar Kriptografi Negara, Pelan Tindakan Kriptografi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pendidikan turut memainkan peranan penting kerana bidang keselamatan baharu memerlukan penguasaan ilmu dan kefahaman yang tidak lagi terhad kepada sekolah atau pendidikan formal.
“Perubahan dalam dunia pasca-normal berlaku secara pantas dan meluas, sekali gus menuntut keseluruhan ekosistem negara bergerak seiring dengan cabaran baharu.
“Pendekatan keselamatan negara kini juga perlu membabitkan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, kementerian, penjawat awam, pimpinan politik dan sektor swasta,” katanya.
Katanya, isu keselamatan tidak boleh lagi diurus secara berasingan mengikut jabatan atau kementerian kerana cabaran masa kini merentasi pelbagai bidang.
Tambah beliau, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga perlu bergerak pantas dan sentiasa terbuka kepada cara baharu dalam mendepani cabaran keselamatan.
“Sebab itu MKN itu tercabar untuk cepat membantu mendepani masalah ini, memikirkan cara-cara baru dan sentiasa terbuka, tidak boleh maknanya terikat dengan pendekatan lama,” katanya.






