Cecair syabu RM450,000 dirampas, lelaki diberkas di Nibong Tebal

AKTIVITI pemprosesan dan pengedaran cecair syabu yang dipercayai aktif sejak dua bulan lalu berakhir apabila polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah bernilai lebih RM450,000 dalam operasi di Nibong Tebal, Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira jam 9 malam di daerah Seberang Perai Selatan.

Menurutnya, hasil operasi itu membawa kepada rampasan cecair syabu dianggarkan seberat sembilan kilogram dengan nilai pasaran melebihi RM450,000.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah yang aktif sejak Mei lalu di kawasan berkenaan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan rekod lampau menunjukkan lelaki itu mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM70,000.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Julai bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurut Dennis, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan JSJN Pulau Pinang dengan kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada polis.

Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sama ada sebagai pemilik, pengedar mahupun pelindung aktiviti berkenaan.

“JSJN kekal komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img