KJ sifatkan ucapan Ahmad Zahid seperti bakal PM

BEKAS Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 hari ini sebagai ucapan seorang bakal Perdana Menteri dan kerajaan yang bakal dibentuk.

Menurut bekas Menteri Kesihatan serta Menteri Belia dan Sukan itu, ucapan Ahmad Zahid jelas dalam memperincikan hala tuju Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

KHAIRY Jamaluddin

“Ini merupakan ucapan seorang bakal Perdana Menteri dan sebuah kerajaan yang bakal dibentuk,” kata Khairy kepada pemberita selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti berpandangan jauh yang mempunyai visi jangka panjang untuk Malaysia, bukannya parti yang sekadar mahu bertahan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Beliau turut menggesa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan secepat mungkin, dengan menyifatkan sudah tiba masanya BN mendapatkan mandat baharu untuk menerajui negara.

Ahmad Zahid juga memberi jaminan bahawa institusi kehakiman dan institusi negara tidak akan dijadikan alat politik sekiranya BN kembali menerajui Putrajaya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hala tuju UMNO dan BN kini bergantung sepenuhnya kepada keupayaan kepimpinannya untuk mengembalikan parti itu melakukan lonjakan semula dan menjadi lebih kukuh.

DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein

Beliau berkata, perjalanan sesebuah parti ada kalanya akan berdepan dengan saat jatuh dan bangun, seperti yang dilalui lapan tahun lalu yang membuktikan wujudnya roda putaran dalam politik.

“Masa kita naik, kita ditatang, dipuji dan disokong. Tapi masa kita turun lapan tahun sebelum ini, kita dicemuh, diserang dan difitnah.

“Semua itu disebut oleh Presiden sebagai pengajaran dan memberi kita kekuatan. Sekarang terserah kepada pemimpin parti untuk menentukan putaran itu terus menghala ke atas,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here