Dua bekas pekerja taska didakwa cuai, aniaya kanak-kanak

DUA wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan bertindak secara cuai dan menganiaya dua kanak-kanak lelaki di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska).

Norlida Abdul Razak, 39, dan Zairifah Zainal Abidin, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Norlida didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan, bertindak secara cuai sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan emosi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taska di Taman Cenderawasih Indah, di sini, pada jam 4.30 petang, 15 Mei lalu.

Zairifah pula didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan, menganiaya mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di taska sama pada jam 2.30 petang, 11 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh, manakala peguam Mohd Rusnizam Abdullah yang mewakili kedua-dua wanita itu memohon jaminan rendah.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh, berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen, lapor FMT.

Sebelum ini, beberapa rakaman video kanak-kanak yang disyaki dikasari petugas sebuah taska tular dan kejadian itu mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here