UMNO bersedih permohonan pengampunan Najib ditangguh – Ahmad Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa sedih atas penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya mengharapkan yang terbaik dapat diberikan kepada Najib.

“Kami bersedih dengan keputusan itu. Bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim). Kami merayu supaya gunakan seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan terbaik.

“Kami tetap mendukung institusi Raja dan mengharapkan yang terbaik akan diberikan kepada Datuk Seri Najib,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat ke-63 lembaga berkenaan yang diadakan hari ini yang turut berkenan membebaskan 65 banduan.

Terdahulu ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden, Ahmad Zahid menggesa institusi negara tidak boleh dijadikan alat untuk kepentingan politik tanpa mengira siapa yang membentuk kerajaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, keyakinan rakyat terhadap mahkamah, agensi penguatkuasaan dan sistem pentadbiran perlu dipelihara kerana kepercayaan menjadi asas penting dalam pembinaan negara.

“Kita mahu rakyat percaya kepada mahkamah. Saya ulangi. Kita mahu rakyat percaya kepada mahkamah.

“Dan bukannya mahkamah yang diperalatkan. Kita percaya dengan semua agensi penguatkuasaan. Tetapi bukan agensi yang juga diperalatkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, penjawat awam juga perlu mempunyai keyakinan terhadap sistem tanpa dibayangi ugutan.

“Penjawat awam sangat percaya kepada sistem. Dan jangan dihantui mereka dengan ugutan.

“Siapa pun yang menjadi kerajaan, institusi negara tidak boleh dijadikan alat demi kepentingan politik,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here