POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan melalui tindakan yang didakwa boleh mengancam kestabilan negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dua individu berkenaan terdiri daripada pengadu dan seorang saksi yang dipanggil bagi melengkapkan siasatan.
Menurut beliau, siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti setiap maklumat yang diperoleh setakat ini.
“Dua individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, iaitu pengadu dan seorang saksi.
“Beri ruang dan masa kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Kumar memberitahu, polis juga akan memanggil individu lain sekiranya perlu bagi melengkapkan siasatan.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, polis sedang menyiasat dakwaan wujudnya komplot menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara yang dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya pada Khamis lalu.
Menurut Mohd Khalid, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Media sebelum ini turut melaporkan sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa mendalangi komplot untuk menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan media antarabangsa serta pelobi luar negara.
Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur yang tular di media sosial.
Pengadu dalam laporan itu mendakwa gerakan berkenaan membabitkan ahli keluarga terdekat seorang bekas menteri yang mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara suatu ketika dahulu.
Gerakan itu dipercayai menyasarkan tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk berkaitan dakwaan dalam siasatan membabitkan individu tertentu.


