MALAYSIA berpendirian bahawa kebebasan dan keselamatan laluan maritim melalui Selat Hormuz perlu terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, sebarang gangguan akan membawa kesan besar terhadap keselamatan tenaga, perdagangan dan ekonomi dunia.
Melalui Facebook beliau, Anwar berkata, beliau menegaskan pendirian Malaysia itu dalam pertemuan dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr. Masoud Pezeshkian di New Delhi hari ini.
Katanya, dalam pertemuan itu juga, beliau menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap konflik yang berlarutan serta ketegangan yang terus memuncak di Asia Barat.
‘’Malaysia menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh memburukkan keadaan, kembali ke meja rundingan serta mengutamakan dialog dan diplomasi bagi menyelesaikan pertikaian secara aman,’’ katanya.

Anwar berkata, pertemuan itu bagi memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Iran serta membincangkan hala tuju kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.
‘’Kami turut meneroka usaha memperluas perdagangan dan pelaburan Malaysia-Iran, khususnya dalam sektor tenaga, pertanian, minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi dan pendidikan tinggi,’’ katanya.
Beliau berkata, beliau dan Dr Masoud sempat berbicara secara empat mata selepas mesyuarat dua hala.
‘’ Insya-Allah Malaysia sedia menterjemahkan hubungan persahabatan ini kepada kerjasama yang lebih bermakna dan berterusan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,’’ katanya.





