POLIS giat memburu dua lelaki menaiki sebuah Proton Wira berwarna hijau selepas melarikan diri ketika diarah berhenti untuk pemeriksaan di Jalan Semenyih, Kajang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian pukul 3.25 petang itu, kereta terbabit turut melanggar sebuah Perodua Ativa dan Unit Kereta Peronda (MPV) polis ketika melarikan diri.
“Kejadian berlaku apabila anggota MPV, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), IPD Kajang yang sedang menjalankan rondaan cuba menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan dokumen pengenalan diri kedua-dua lelaki tersebut.
“Bagaimanapun, mereka bertindak melarikan diri dengan kenderaan berkenaan menuju ke arah Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, semasa melarikan diri, kenderaan tersebut telah melanggar sebuah Perodua Ativa dan kemudiannya melanggar kenderaan MPV polis, menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan.
“Tiada orang awam atau anggota polis yang cedera dalam kejadian tersebut.
“Pihak polis sedang menjalankan usaha mengenal pasti dan mengesan suspek, termasuk mendapatkan rakaman CCTV dan kamera papan pemuka serta keterangan saksi,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghalang penjawat awam, iaitu anggota polis, dalam menjalankan fungsi awamnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Azlan Bin Zulkiflee di talian 017 316 1138 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa pemeriksaan dijalankan serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri, anggota polis dan pengguna jalan raya yang lain.





