ANGGOTA Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) yang menyerang Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi di dalam kem di Bentong kini disiasat kerana membunuh susulan kematian anggota tentera itu pagi ini.
Sebelum ini pada 6 April lalu, Koperal Sukry Tasu, 37, dituduh di Mahkamah Sesyen Bentong mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.
Berikutan kematian mangsa, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, perkembangan terbaharu menyaksikan kes ini disiasat semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Permohonan untuk melakukan bedah siasat telah dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini dan jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bapa Allahyarham Muhammad Amirul Raziq, Rosafindi Tambi Chik hari ini mengesahkan pemergian anaknya pagi tadi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang, kira-kira seminggu selepas mangsa bergantung kepada alat bantuan pernafasan susulan kejadian itu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menyerang anggota tentera di kem Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong, bulan lalu.
Dia didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada Muhammad Amirul Raziq dan enam yang lain iaitu Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Syakirin Yaacob, 20; Azman Shah Ismail, 22; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Irfan Aiman Tajudin, 19; dan Danial Asraf Azizan, 22.
Zaiham sebelum ini dilaporkan berkata, koperal tersebut didakwa telah menumbuk dan menendang Amirul di pelbagai bahagian badan.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menyatakan siasatan awal mendapati PTTR itu tidak berpuas hati dengan cara anggota terbabit membersihkan stor senjata kem berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kematian prebet berkenaan dipandang serius, sambil menegaskan sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme dijunjung Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.
“Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.


