Koperal trafik dipenjara empat bulan terima suapan RM1,000

SEORANG anggota polis trafik berpangkat koperal dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini selepas didapati bersalah menerima wang suapan RM1,000.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman terhadap Koperal Ahmad Amin Khairul Komar, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap empat pertuduhan yang dihadapi tertuduh dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Amin didakwa menerima wang berjumlah RM1,000 melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun isterinya daripada seorang individu antara 3 Oktober 2017 hingga 2 Mac 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Melissa Sukri.

Terdahulu, Melissa memohon penangguhan hukuman bagi membolehkan pihaknya mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Ezuain Farhana membantah permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh dan menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img