KPDN serbu kilang sabun disyaki guna logo halal tidak sah

Sebuah kilang memproses sabun pencuci di Seri Kembangan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor selepas disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah pada produk yang dipasarkan secara dalam talian.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, berkata operasi bersepadu itu dijalankan pada jam 11.25 pagi semalam hasil maklumat awam berhubung penyalahgunaan logo halal pada produk keluaran syarikat terbabit.

Beliau berkata, operasi berkenaan membabitkan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Selangor bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui oleh pihak berkuasa bagi tujuan perdagangan.

“Susulan itu, KPDN menyita 31,140 unit sabun pencuci, 40,000 unit plastik pembungkusan serta beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM215,700.

Menurutnya, seramai lima pekerja warga asing dan seorang pengarah syarikat warga tempatan turut diperiksa bagi membantu siasatan.

“Kelima-lima pekerja warga asing itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Muhamad Hanif berkata, kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu di bawah subperenggan 8(b) perintah berkenaan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh didenda sehingga RM200,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda sehingga RM500,000.

“Bagi individu pula, hukuman yang boleh dikenakan ialah denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu boleh didenda sehingga RM250,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan logo halal kerana tindakan itu boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan integriti pensijilan halal negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan logo halal diminta menyalurkan aduan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img