KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 20.4 tan minyak masak peket ke negara jiran menerusi tiga serbuan, semalam.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, ia melibatkan tiga operasi berasingan di Pasir Putih, Pasir Mas dan Tumpat serta penahanan tiga lelaki tempatan.
“Operasi pertama dijalankan sekitar jam 12.20 tengah hari hingga 1.30 petang apabila Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan mengesan dua Perodua Alza yang dipercayai digunakan untuk mengangkut minyak masak bersubsidi sebelum diseludup ke negara jiran.
“Pasukan operasi kemudian mengekori kedua-dua kenderaan itu ke lokasi dipercayai tempat bekalan diperoleh sebelum bertindak menyerbu,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.
Menurut beliau, serbuan di Jalan Pasir Puteh berhampiran sebuah stesen minyak telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.
Katanya, pemeriksaan mendapati kenderaan jenis Perodua Alza itu membawa 1,445 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi pelbagai jenama.
Kata beliau, suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan barang kawalan berkenaan.
Aswadi memberitahu, sebuah lagi Perodua Alza bertindak memecut melarikan diri sebelum dikejar pasukan operasi dari Pasir Putih menuju ke Pasir Mas.
“Suspek akhirnya terbabas dan merempuh sebuah bangsal di Kampung Jakar, Banggol Che Dol sebelum meloloskan diri.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemukan 1,360 kg minyak masak peket bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua rampasan membabitkan hampir 2.8 tan minyak masak dengan nilai sitaan dianggarkan RM43,000, termasuk dua buah kenderaan.
Dalam perkembangan sama, Aswadi berkata, satu lagi serbuan pada jam 10.45 malam di Kampung Telaga Bata, Chabang Empat, Tumpat berjaya mematahkan cubaan menyeludup 17,680 kg minyak masak peket bersubsidi menggunakan sebuah lori kargo jenis Nissan UD.
Ujar beliau, lori berkenaan ditahan selepas pasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas dan Kota Bharu menjalankan risikan di sekitar Kota Bharu dan Tumpat.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu membawa 1,040 kotak minyak masak peket satu kilogram yang diperoleh dari Melaka dan Pahang sebelum dibawa ke Kelantan.
“Pemandu lori bersama seorang kelindan tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu terbabit mengaku menerima upah RM500 untuk menghantar muatan berkenaan ke sebuah pangkalan haram berhampiran sempadan Tumpat.
“Suspek turut mendakwa ini adalah kali pertama dia melakukan kerja berkenaan dan hanya mengikut arahan individu yang mengupahnya,” katanya.
Menurut beliau, nilai rampasan minyak masak dalam kes itu dianggarkan RM44,200, manakala keseluruhan sitaan termasuk lori mencecah RM94,200.
Katanya, kesemua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala usaha mengesan suspek yang melarikan diri masih diteruskan.





