KEWUJUDAN gas metana (CH4) yang dikesan keluar dari sebuah cerucuk silinder di tapak pembinaan di Jalan Perdana, Tudan di Miri hari ini menyebabkan semua kerja di kawasan berkenaan dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Bintulu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap kandungan gas berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal oleh kontraktor PETROS mendapati kandungan gas yang dikesan ialah Lower Explosive Limit (LEL) metana (CH4) pada bacaan 100 peratus.
“Susulan penemuan itu, Pasukan Hazmat Bintulu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti sama ada terdapat kandungan gas lain sebelum tindakan susulan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, JBPM Sarawak menerima panggilan pada jam 7.45 pagi sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada jam 7.57 pagi, pasukan operasi mengesahkan terdapat gas keluar dari salah satu cerucuk jenis silinder di kawasan pembinaan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, anggota operasi yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri kemudian membuat penilaian awal sebelum mewujudkan perimeter keselamatan di sekitar cerucuk bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pekerja dan orang awam.
“Cerucuk silinder yang mengeluarkan gas itu ditutup sementara sehingga pemeriksaan dapat dilakukan.
“Kontraktor PETROS turut hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan manakala semua kerja pembinaan dihentikan sementara sepanjang proses pemantauan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dan keadaan di lokasi kekal terkawal.
Operasi berjaya dikawal pada jam 9.55 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya jam 10.04 pagi selepas keadaan disahkan selamat.






