KPK perkasa pembangunan modal insan melalui program Sekolah Angkat MADANI

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Tahun 2025 KPK di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Kering, Kuala Kangsar sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan dan pemerkasaan modal insan negara.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) KPK, Shafie Taib manakala Lembaga Getah Malaysia (LGM) bertindak sebagai agensi pelaksana Program Sekolah Angkat MADANI di bawah KPK.

SHAFIE Taib dan Shamsidar Zulkapli menunjukkan modul pelaksanaan program Sekolah Angkat MADANI KPK Tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Bendang Kering Kuala Kangsar hari ini. GAMBAR: KPK

Menurut KPK, program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif strategik Kerajaan MADANI bertujuan memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti melalui penambahbaikan infrastruktur sekolah, pelaksanaan program peningkatan akademik, pembangunan sahsiah dan kepimpinan murid serta pengukuhan kemudahan pembelajaran digital.

“Di SK Bendang Kering, peruntukan khas kerajaan berjumlah RM100,000 telah dimanfaatkan bagi menaik taraf tapak perhimpunan, dewan, sudut bacaan ilmiah dan kelas prasekolah, selain penyediaan kemudahan seperti smart board (papan pintar interaktif), air cooler, papan tanda ilmiah dan kerusi murid bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berteraskan teknologi.

“Program ini turut merangkumi pelaksanaan inisiatif peningkatan akademik serta pembangunan bakat dan kepimpinan murid bagi membantu melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” kata kenyataan dikeluarkan KPK hari ini.

Menurut KPK, pemilihan SK Bendang Kering sebagai Sekolah Angkat MADANI kementerian mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan murid di kawasan luar bandar turut menikmati kemudahan pendidikan yang berkualiti, selesa dan setanding dengan perkembangan pendidikan semasa.

Katanya, selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21, sekolah ini turut dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran digital melalui pemasangan smart board yang membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara lebih interaktif, kreatif dan berkesan.

“Selain penambahbaikan infrastruktur, peruntukan yang disalurkan turut dimanfaatkan bagi melaksanakan Program Peningkatan Akademik melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Pada masa yang sama, bantuan dan insentif turut disediakan sebagai galakan kepada murid yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik,” kata kenyataan itu lagi.

KPK turut memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah dan kepimpinan murid melalui pelaksanaan program seperti Kem Motivasi Kepimpinan Murid dan Kem Pembangunan Bakat Murid.

Kementerian tersebut turut yakin pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI akan terus menjadi platform penting dalam memperkasa pendidikan, merapatkan jurang akses kepada kemudahan pembelajaran serta melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img