KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik berhampiran kemudahan pengangkutan awam dan pusat pekerjaan bagi mengurangkan beban perjalanan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perancangan pembangunan perumahan perlu mengambil kira akses penduduk kepada peluang pekerjaan, kemudahan asas dan perkhidmatan komuniti, selain memastikan kediaman yang ditawarkan mampu dimiliki.

“Di bawah kerangka Malaysia MADANI, rumah bukan sekadar komoditi, sebaliknya merupakan keperluan asas yang menjadi tunjang kesejahteraan rakyat. Justeru, pembangunan perumahan perlu berteraskan keperluan rakyat dengan mengambil kira akses kepada pengangkutan awam, peluang pekerjaan, kawasan hijau serta kemudahan komuniti yang selamat dan kondusif,” katanya.
Kor Ming berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung bersempena Majlis Makan Malam Gala UN-Habitat di Putrajaya semalam.
Majlis itu turut dihadiri duta dan wakil diplomatik dari 28 negara.
Beliau yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat berkata, kerajaan menyasarkan penyediaan sejuta unit rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035, termasuk 500,000 unit menjelang 2030.

Menurutnya, usaha membantu rakyat memiliki rumah turut dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif, antaranya insentif berkaitan duti setem, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan skim sewa untuk dimiliki (Rent-to-Own).
“Inisiatif ini bertujuan membantu pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri dan pekerja gig yang mungkin berdepan cabaran dari segi akses kepada pembiayaan serta penyediaan wang pendahuluan,” katanya.
Malaysia turut memperkukuh komitmen terhadap pembangunan perumahan cekap tenaga dan responsif terhadap perubahan iklim menerusi IPOH Accord, yang dimuktamadkan pada Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri ASEAN-China (ACMROCH) Ke-4.
Sambutan Hari Habitat Sedunia tahun ini membawa tema nasional “Bandar Masa Hadapan yang Ingin Saya Diami”, dengan penekanan terhadap pembangunan bandar yang mengambil kira perubahan iklim, warisan budaya, pengalaman pembangunan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pembangunan bandar moden perlu diseimbangkan dengan usaha memelihara warisan serta identiti negara.
“Yang lama dikelek, yang baharu didukung. Membina bandar masa hadapan tidak bermakna kita mengetepikan warisan dan sejarah. Sebaliknya, kebijaksanaan reka bentuk tradisional boleh digabungkan dengan teknologi moden untuk menghasilkan kediaman yang lebih selesa dan berdaya tahan terhadap cuaca panas serta risiko banjir.
“Sebagai contoh, rumah tradisional Melayu menggunakan struktur bertiang yang mengambil kira keadaan paras air, bukaan yang menggalakkan pengudaraan semula jadi serta ruang serambi yang mengeratkan hubungan kejiranan dan silaturahim. Ciri-ciri ini boleh dijadikan inspirasi dalam mereka bentuk kediaman moden yang lebih sesuai dengan iklim tempatan,” katanya.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan Anugerah Skrol Kehormat Malaysia 2026 dan Anugerah Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pelbagai pihak dalam meningkatkan kesejahteraan bandar.
Kor Ming turut menyeru 156 pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan perancang bandar supaya memperkukuh penglibatan penduduk dalam proses perancangan pembangunan, dengan mengambil kira keperluan semua golongan termasuk kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Hari Habitat Sedunia ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak setiap insan untuk mendapatkan tempat tinggal yang memadai.
Sambutan peringkat global tahun ini berpusat di Muscat, Oman, dengan tumpuan kepada hubungan antara perumahan, iklim, sumber air, kebudayaan dan inovasi pembinaan.





