Krisis BN-MCA uji perpaduan gabungan menjelang PRN Melaka – Penganalisis

KEMELUT antara Barisan Nasional (BN) dan MCA berhubung pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan proses rundingan serta sejauh mana suara parti komponen diberikan perhatian dalam membuat keputusan bersama.

Penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meninggalkan dewan ketika pengumuman calon BN malam tadi mencerminkan isu lebih asas dalam pengurusan hubungan antara parti komponen gabungan itu.

Menurutnya, gabungan politik bukan sekadar memerlukan persetujuan di peringkat kepemimpinan tertinggi, malah perlu menyediakan mekanisme yang membolehkan setiap parti menyuarakan pandangan dan mempertahankan kepentingannya.

PROF Madya Dr Sara Chinnasamy

“Gabungan bukan sekadar memerlukan persetujuan di peringkat kepimpinan tertinggi, tetapi juga mekanisme yang memastikan setiap parti komponen mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan dan mempertahankan kepentingannya,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Beliau berkata, insiden berkenaan bagaimanapun tidak semestinya menandakan keretakan menyeluruh dalam BN atau berakhirnya kerjasama antara parti komponen, sebaliknya menunjukkan wujudnya isu kepercayaan dan komunikasi yang perlu diselesaikan segera.

Katanya, tindakan Ka Siong meninggalkan majlis pengumuman calon secara terbuka turut mengalihkan perhatian masyarakat daripada persiapan menghadapi pilihan raya kepada pertikaian dalaman gabungan itu.

“Dari sudut komunikasi politik, tindakan tersebut menjadi simbol yang mudah difahami oleh orang ramai, walaupun punca sebenar konflik melibatkan isu rundingan dan pembahagian kerusi yang lebih kompleks,” katanya.

Menurut Dr Sara, perkembangan seterusnya perlu dinilai berdasarkan tindakan kepemimpinan BN dalam memberikan ruang kepada MCA untuk mengemukakan aduan serta memastikan sebarang penyelesaian yang dicapai dapat dilaksanakan.

Mengulas kemungkinan kesan terhadap pengundi, beliau berkata, pertikaian terbuka berpotensi menimbulkan persoalan mengenai kesepakatan dan hala tuju bersama parti-parti komponen, terutama ketika BN sedang membuat persiapan menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, katanya, tidak wajar untuk menganggap satu insiden secara automatik akan menyebabkan pengundi menolak BN kerana reaksi mereka bergantung pada tempoh pertikaian berlarutan, penjelasan kepemimpinan serta keberkesanan penyelesaian yang dicapai.

“Justeru, kita tidak boleh menganggap bahawa satu insiden secara automatik akan menyebabkan pengundi menolak BN.

“Kesan sebenar bergantung pada beberapa faktor, termasuk sejauh mana isu ini berpanjangan, bagaimana kepimpinan memberikan penjelasan dan sama ada penyelesaian yang dicapai dapat meyakinkan pihak yang terlibat,” katanya.

Dr Sara berkata, isu yang dibangkitkan MCA juga tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut jumlah kerusi yang diperuntukkan, sebaliknya perlu mengambil kira proses rundingan yang membawa kepada keputusan berkenaan.

Menurutnya, dalam sesebuah gabungan politik, pembahagian kerusi turut berkait dengan pengaruh, pengiktirafan dan keyakinan bahawa setiap parti mempunyai suara dalam menentukan keputusan bersama.

Beliau berkata, sekiranya pertikaian seumpama itu berulang tanpa mekanisme penyelesaian yang jelas, hubungan antara UMNO dan MCA berisiko menjadi semakin bersifat transaksional, dengan kerjasama lebih bergantung pada kepentingan tertentu berbanding kepercayaan dan komitmen bersama.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pertikaian di Melaka tidak semestinya menjejaskan keseluruhan hubungan UMNO-MCA di peringkat nasional, memandangkan isu pengagihan kerusi di negeri itu perlu dibezakan daripada kerjasama BN yang lebih luas.

Sehubungan itu, Dr Sara berkata, BN perlu memperkukuh komunikasi dalaman dengan memastikan sebarang perubahan berkaitan calon, pembahagian kerusi atau strategi pilihan raya disampaikan melalui saluran rasmi dan diputuskan mengikut prosedur yang jelas.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi mengelakkan salah faham berkembang menjadi pertikaian terbuka yang boleh menjejaskan hubungan antara parti komponen.

“Insiden ini boleh menjadi ujian terhadap keupayaan BN menguruskan perbezaan dalaman secara matang. Sama ada pertikaian tersebut akan berpanjangan atau berjaya diselesaikan bergantung pada proses rundingan dan tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan BN ketika ini bukan sekadar menampilkan imej bersatu, tetapi membuktikan keupayaannya menguruskan perbezaan secara telus dan bertanggungjawab.

“Bagi pengundi, perkara yang penting bukan semata-mata sama ada BN kelihatan bersatu, tetapi sama ada gabungan itu mampu menunjukkan ketelusan, akauntabiliti dan kesungguhan dalam menguruskan kepentingan rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here