TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa simpati terhadap dua wartawan yang cedera dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menjalankan tugasan liputan di Bagan Datuk, pagi tadi.
Beliau mengakui berasa pilu sebaik sahaja menerima berita mengenai kemalangan membabitkan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Afiradina Arshad dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid turut mendoakan agar kedua-dua wartawan berkenaan dipermudahkan urusan rawatan dan segera pulih.
“Saya dimaklumkan kedua-duanya sedang menerima rawatan dan seorang daripada mereka masih berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Saya mendoakan semoga Dina (Afiradina Arshad) dan Zahra (Zahratulhayat Mat Arif) dipermudahkan segala urusan rawatan serta dikurniakan kesembuhan yang sebaik-baiknya.
“Insya-Allah, kita sama-sama doakan kedua-duanya segera pulih dan kembali sihat seperti sedia kala,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kereta dinaiki kedua-dua wartawan berkenaan dirempuh sebuah lori dari arah belakang di Jalan Menglembu ketika mereka dalam perjalanan dari Ipoh ke Bagan Datuk.
Mereka dalam perjalanan membuat liputan program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk yang dihadiri Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Berikutan kejadian itu, Afiradina dirawat di zon kuning HRPB, manakala Zahratulhayat menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.





