![]()
BARISAN Nasional (BN) berdepan cabaran memulihkan keharmonian dalaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan ketidakpuasan hati MCA terhadap pembahagian kerusi, yang turut mencetuskan persoalan mengenai keupayaan kepemimpinan UMNO menguruskan hubungan antara parti komponen.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meninggalkan majlis pengumuman calon BN di Melaka malam tadi mencerminkan ketegangan yang perlu ditangani segera bagi mengelakkan hubungan antara parti komponen terus terjejas.
Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada MCA, tetapi turut menyentuh soal ketelusan rundingan, penghormatan terhadap rakan gabungan dan keseimbangan dalam membuat keputusan.

“Memang benar, tiada parti boleh mendakwa memiliki sesuatu kerusi selama-lamanya. Politik memerlukan kompromi. Tetapi kompromi mestilah dirunding, bukannya diumumkan kemudian dipaksa untuk diterima,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Beliau berkata, MCA bertanding di tujuh kerusi pada PRN Melaka 2021 dan memenangi dua daripadanya, iaitu Klebang dan Machap Jaya namun tewas di lima lagi kerusi iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Bemban.
Bagaimanapun, MCA kini diperuntukkan dua kerusi sahaja, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai asas pertimbangan yang digunakan dalam menentukan pembahagian kerusi berkenaan.
Dr Ahmad Zaharuddin berkata, penilaian terhadap kemampuan parti bertanding perlu dibuat secara adil dan telus dengan mengambil kira kekuatan calon, data pengundi serta keupayaan jentera, bukannya bergantung semata-mata kepada tuntutan berdasarkan sejarah pertandingan terdahulu.
“Persoalannya bukan sama ada MCA berhak mendapat tujuh kerusi secara automatik, tetapi sama ada penilaian kemampuan parti dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Beliau turut membangkitkan dilema yang kini dihadapi UMNO, iaitu sama ada memenuhi tuntutan MCA demi memulihkan keharmonian BN atau mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi yang sudah dicapai bersama Perikatan Nasional (PN).
Katanya, jika UMNO bersetuju menyemak semula pembahagian kerusi bagi memenuhi tuntutan MCA, keputusan itu mungkin menimbulkan persoalan mengenai ketegasan kepemimpinan parti berkenaan, selain berpotensi mencetuskan reaksi daripada PN yang sudah menerima pembahagian tujuh kerusi.
“UMNO kini tersepit antara menjaga maruah sendiri dengan menyelamatkan keharmonian rumah tangga BN. Jika tuntutan MCA dilayan, tidakkah timbul persepsi bahawa UMNO mudah tunduk kepada tekanan, seolah-olah lembu dicucuk hidung?.
“Lebih rumit, apakah reaksi Perikatan Nasional yang telah menerima pembahagian tujuh kerusi jika persetujuan itu dirombak semula?,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan untuk berkeras mempertahankan pembahagian sedia ada sehingga hari penamaan calon pada 31 Oktober juga mempunyai risiko, khususnya jika ketidakpuasan hati MCA menjejaskan kerjasama jentera pilihan raya.
“Jika UMNO berkeras sehingga penamaan calon pada 31 Oktober, risikonya bukan sekadar MCA terus merajuk, tetapi kemungkinan jentera BN bergerak tanpa kesepaduan.
“Di sinilah paradoks kepimpinan UMNO: berundur boleh ditafsirkan sebagai kelemahan, berkeras pula boleh dilihat sebagai keangkuhan,” katanya.
Menurutnya, pertikaian sedemikian tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai perebutan kuasa atau kerusi, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan proses rundingan yang mendasari setiap keputusan.
“Persoalan sebenarnya bukan siapa lebih berkuasa, tetapi apakah keputusan itu lahir daripada rundingan bersama atau kehendak satu pihak?
“Maruah politik bukan terletak pada keengganan mengalah, tetapi pada kemampuan memimpin tanpa menyebabkan rakan sendiri berasa dipinggirkan,” katanya.
Dr Ahmad Zaharuddin berkata, kepemimpinan BN perlu mengambil langkah segera untuk membuka ruang perbincangan, menjelaskan rasional pembahagian kerusi dan memastikan setiap parti komponen mendapat peluang menyuarakan pandangan sebelum pertikaian menjadi lebih sukar diselesaikan.
Beliau berkata, kerjasama politik yang berkesan memerlukan kesediaan semua pihak berkompromi, selain memastikan pengorbanan yang diminta daripada sesebuah parti tidak dilihat sebagai keputusan sebelah pihak.
Katanya, keutuhan BN menjelang PRN Melaka bukan hanya bergantung pada pemilihan calon, tetapi juga kemampuan kepemimpinannya mengekalkan kepercayaan dan memastikan jentera parti bergerak dengan matlamat yang sama.





